Wednesday, June 8, 2011

Tak seindah malam kelmarin


Dia menyarungkan tudung yang sudah kekuningan, tampak senget namun langsung tidak dikemaskan. Bedak bayi Johnson & Johnson ditepek ke mukanya. Sesudah itu, beg sekolah yang hampir putus talinya disandang ke bahu. Wajahnya lansung tidak menampakkan riak ceria. Mana tidaknya penat semalam menjual nasi lemak sehingga dinihari masih belum hilang, terpaksa pula bangun awal-awal pagi untuk pergi ke sekolah menimba ilmu. Sekolah pula jauh nun di hujung kampung.Terpaksa meredah kesejukan angin subuh yang mencengkam sehingga ke tulang hitam.

Selesai memakai kasut sekolah yang tidak dikapur, dia menunggang gerek usang milik neneknya. Kayuhannya pagi itu sengaja dilambat-lambatkan sambil menikmati angin pagi yang amat menyegarkan. Namun, dia terpaksa berhenti dua tiga kali di pertengahan perjalanan kerana rantai gereknya jatuh. Sudah longgar lagi karat. Sesuailah dengan usia gereknya yang bersamaan usia neneknya yang tua lagi terlantar di atas katil. Habis comot mukanya yang putih terkena calitan minyak hitam rantai gerek. Jemarinya yang melekat dengan minyak hitam dicalit di hujung kain sekolah. Kayuhan dimulakan semula, meredah pagi yang masih gelap.

Dia di antara orang terawal yang sampai di sekolah. Adapun dua tiga orang murid yang lain sudah sampai, melepak di belakang kelas, duduk di tubir longkang sambil menunggu kawan-kawan yang lain. Kala itu sang matahari mula menampakkan diri, malu-malu di balik awan mencurahkan sinarnya ke muka bumi.

Selepas mengunci gerek tua, dia berlari-lari mendaki tangga hingga ke tingkat empat. Setiba di kelas, dipetik suis lampu. Terang benderang kelasnya. Tingkap dibuka lalu dia mula membersihkan kelas kerana hari ini dia bertugas.

Selesai semua tugasnya dia turun semula ke ruang perhimpunan untuk menunggu waktu pembarisan sebelum waktu kelas bermula. Dia duduk di bawah tangga belakang blok A bersendirian. Buku rujukan ehsan orang kampung dibacanya. Cuba menelaah setiap bab dalam buku tersebut. Namun, tumpuannya terganggu dek tiga budak lelaki membuat bising berhampiran tempat lepaknya. Dia menoleh mencari punca suara tersebut. Kelihatan dua budak lelaki sedang menunjal kepala seorang lagi budak lelaki di satu sudut yang hampir tidak nampak dek pandangan orang ramai. Hampir terjatuh cermin mata budak lelaki itu akibat kepalanya berkali-kali ditunjal oleh budak yang berbadan sasa lagi tinggi daripada budak bercermin mata itu. Seorang lagi berbadan kurus mentertawakan budak bercermin mata. Sesekali tangannya juga singgah meluku kepala budak bercermin mata itu.

Dia kenal benar dengan tiga budak lelaki tersebut. Bukan hari ini saja dia nampak Johan dan Borhan membuli Amran si ulat buku. Malah dia juga nampak Johan dan Borhan berkali-kali memeras ugut duit si Amran. Maklumlah Amran anak orang berada. Hari-hari bawa wang saku sepuluh ringgit. Amran sekadar berdiam diri ataupun menangis saat dibuli. Entah terkena rasukan jin spesis apa, dia nekad membantu Amran. Dengan kudrat tubuhnya yang kedengkik, dia menolak tubuh Johan yang dua kali ganda besar daripadanya.Lalu disepak punggung si lanjai, Borhan berkali-kali. Ternyata Johan dan Borhan terkejut dengan serangan hendapnya. Sebelum Johan dan Borhan melakukan serangan balas dia menarik tangan Amran, melarikan diri segagah kuda berlari. Tetapi malang bagi nasib mereka berempat kerana Cikgu Hayat sudah terpacak di hadapan sambil memegang rotan. Wajah Cikgu Hayat kala itu sangat bengis persis sang raja rimba mahu menerkam mangsa. Keempat-empat mereka dibawa masuk ke dalam bilik disiplin.

Johan, Borhan dan Amran tertunduk memandang lantai. Hanya dia sahaja yang tepat merenung muka Cikgu Hayat dengan pandangan tidak puas hati. Tanda protes. Tanpa disoal dengan teliti, dia juga turut dirotan. Malah mereka berempat dirotan di hadapan murid-murid yang lain di perhimpunan pagi itu sebagai pengajaran kepada yang lain agar tidak mencontohi kelakuan mereka.

Dia perasan semua murid yang lain menumpukan perhatian kepadanya. Mana tidaknya,itulah kali pertama dia naik ke atas pentas, bukan sebab terima anugerah murid cemerlang tetapi hari ini dalam sejarah dia menjadi gangster sekolah. Kalau Johan dan Borhan semua orang sudah muak melihat mereka di atas pentas. Ada juga mulut terlopong memerhati dirinya malah ada juga yang mula mencebik-cebik mulut. Mungkin mencemuh. Dah lah bodoh,duduk kelas paling belakang. Bergaduh pulak. Nak jadi samseng sekolah la tuh.

Seusai perhimpunan pagi tadi, Johan dan Borhan menarik tubuhnya ke satu sudut. Dendam mereka terhadap dirinya mesti dilunaskan. Dia tahu, Johan dan Borhan tak berpuas hati. Mukanya di tampar berkali-kali oleh Johan,namun dia sekadar membatu. Ditahan-tahan airmatanya daripada mengalir. Dalam hatinya dendam kesumat ditanam sedalam-dalamnya di lubuk hati. Saat itu menjadi detik bermulanya perang dunia antara dirinya dengan Johan. Nasibnya baik kerana Amran memanggil Cikgu Hayat semula bagi meredakan sengketa antara Johan dan dirinya. Apa lagi, lintang pukang Johan dan Borhan menyelamatkan diri. Setelah itu, Cikgu Hayat cuba merapati dirinya tetapi dengan pantas dia mengatur langkah meninggalkan Cikgu Hayat dan Amran.

Dia sedar Amran mengejar dirinya lantas dia memberhentikan langkah kakinya.Tidak dipaling tubuhnya mengadap Amran. Dia sekadar memeluk tubuhnya sambil menanti teguran Amran.

“ Hai..Saya Amran. Maafkan saya, sebab saya awak turut sama dirotan.” Amran menghulurkan tangan untuk disalam sebagai tanda bermulanya persahabatan. Dia hanya memandang sepi huluran tangan Amran.

“ Ain.” Hanya sepatah perkataan yang keluar daripada mulutnya. Selebihnya dia mencebik. Nama saja jantan tapi pengecut!

“ Terima kasih sebab selamatkan saya daripada Johan dan Borhan tadi.” Amran mengekori langkah Ain yang mula maju ke hadapan.

“ Awak duduk kelas mana? Saya duduk kelas 5A. Tak pernah nampak awak pun sebelum ni.”

“ 5F.” Kau budak kelas pandai, aku buadak kelas paling belakang, gumamnya lagi. Langkah kakinya dihayun laju. Rimas juga bila Amran bertanyakan itu ini.

“ Owh.Kita jumpa lagi.” Suara Amran agak tinggi kedengaran kerana Ain makin jauh ke depan. Amran terkulat-kulat di ruang kaki lima kelas budak tingkatan satu kerana Ain mempersetankannya.

“ Amran!!!Masuk kelas kamu!” Lantang suara Cikgu Hayat kedengaran. Rupanya sedari tadi Cikgu Hayat memerhati mereka. Apa lagi, berlari-lari Amran mendaki tangga menuju ke kelasnya.


Dalam kelasnya, semua murid yang lain mendiamkan diri tatkala dirinya membolos masuk. Perasan dirinya menjadi perhatian kerana keberanian dirinya bergaduh dengan samseng sekolah. Walhal sebelum ini dia lansung tak diendahkan oleh rakan-rakan yang lain kerana dia comot dan miskin. Yuran sekolah setiap tahun pun tak dapat dilunaskan. Masuk penggal akhir persekolahan baru dia dapat melangsaikan yuran sekolah dengan duit simpanan menjual nasi lemak. Oleh sebab kemiskinannya, dia dipinggirkan oleh kawan-kawan sekelas malah satu sekolah. Dia sedar status dirinya sebab itu dia selalu mengasingkan diri daripada murid-murid yang lain. Dia juga sedar dengan pandangan mata sesetengah cikgu terhadapnya kecuali Cikgu Faridah. Cikgu Faridah amat mengambil berat ke atas dirinya. Pernah satu ketika Cikgu Faridah bertandang ke pondok usangnya yang di huni oleh dirinya dan nenek yang sudah tua. Mengemukakan hasrat pada neneknya untuk mengambilnya sebagai anak angkat. Namun dia membantah hasrat Cikgu Faridah. Baginya, dia mampu berdikari tanpa simpati orang lain. Malah dia takut untuk berpisah dengan neneknya. Dia mahu menjaga neneknya kerana dia sudah tiada siapa-siapa di atas muka bumi ini. Oleh kerana kedegilannya, Cikgu Faridah akur dengan keputusannya. Namun Cikgu Faridah tetap memberi sumbangan kepada dirinya seperti buku terpakai dan pakaian terpakai. Malah Cikgu Faridah juga yang memberinya modal untuk berniaga nasi lemak. Kini, dia menjual nasi lemak di pinggir jalan di hujung kampung, di jalan masuk utama ke kampungnya setiap malam.

Pukul 1.45petang, sesi persekolahan telah tamat. Terkocoh-kocoh dia berlari mendapatkan gerek tua. Dia mahu pulang awal. Bahan-bahan untuk nasi lemak belum siap lagi. Semalam dia tertidur awal akibat terlalu penat. Kayuhan gerek tua dilajukan. Namun dia perasan ada tangan menarik belakang gereknya. Terhenti kayuhannya. Dia memaling muka ke belakang, kelihatan Johan dan Borhan tersengih-sengih. Lalu gereknya ditolak, dia rebah mencium jalan bertar. Kepalanya tersembam ke atas jalan.Dia mengaduh kesakitan. Melihat darah yang keluar daripada dahi Ain, Johan dan Borhan ketakutan lalu melarikan diri. Airmatanya tumpah jua di situ. Tanpa mengelap air mata dia bingkas bangun. Sekadar menuntun gerek tua, dia membiarkan airmatanya kering sendiri. Dia sedar murid-murid yang lain sekadar memerhati dan ada juga yang buat-buat tak nampak. Namun ada satu suara memanggilnya dari belakang. Langkahnya terhenti. Dia mencari suara tersebut. Dia perasan si pemanggil memanggilnya dengan nama penuh.Norain Khaifara.

“ Awak tak apa-apa kah?” Wajah Amran kelihatan amat risau. Namun soalan Amran tidak disahutnya. Cepat-cepat airmatanya diseka.

“ Dahi awak berdarah.Jom kita ke klinik.Cuci luka tu.”Amran cuba mengejar Ain yang makin laju menuntun gerek tuanya.

“ Marilah saya bawa awak guna basikal awak ni. Awak duduk belakang.” Tangan Amran kuat menahan gereknya. Mata mereka bertaut.Lama...

“ Rumah awak mana? Awak tunjuk ajer lah.” Suara Amran kedengaran ceria. Kayuhannya makin laju. Ain yang berada di belakang senyap tak terkutik.

“Awak..bagitau la kat mana rumah awak?” Amran bersuara agak lantang. Hairan Ain tidak menyahut pertanyaannya.

“ Depan sana ada simpang. Masuk simpang kiri. Tapi kena masuk dalam lagi.” Tangan Ain menunjukkan isyarat ke arah kiri. Setiba di simpang, Amran membelok. Melalui titi usang membuatkan Amran cuak seketika. Takut titi itu reput dan mereka bakal berkubang dalam sungai di bawah. Selepas melepasi titi usang mereka melalui kebun getah pula. Amran mulai kekok dengan suasana sekeliling. Dia sedar kawasan rumah Ain terpencil daripada rumah kampung yang lain.

“ Mana rumah awak? Ni kita dah masuk kebun getah. Betul ke ni?” Amran bertanya dengan kerutan di wajahnya. Ain membatu. Dia sudah mengagak Amran akan penasaran.

“ Bawa je la. Kejap lagi sampai lah. Awak ingat saya nak culik awak ke?” tempalak Ain. Mulutnya mencebik-cebik. Dasar anak orang kaya!

“Kita rehat la dulu. Sana ada pondok,” usul Amran setelah menemui sebuah pondok di hujung kebun. Dia sudah bermandikan peluh. Penat mengayuh gerek tua. Ain tersenyum-senyum melihat baju sekolah Amran basah dek peluh. Tu lah,tak pernah naik gerek. Datang sekolah pun ada pemandu.

Cepat-cepat Ain turun setelah Amran memberhentikan gerek di hadapan pondok usang yang beratapkan zink yang sudah bocor sana sini. Ada juga papan yang sudah terkopak.

Kakinya laju menuju ke pondok tersebut. Beg sandang diletak di atas para lalu dia masuk ke dalam pondok manakala Amran memarkir gerek di tepi. Pondok usang itu ditelitinya dek hairan melihat Ain seperti sudah biasa dengan pondok usang itu. Dia perasan pondok usang tersebut seperti mempunyai penghuni kerana dia nampak beberapa helai baju tersidai di belakang pondok. Dia menjengah-jengah ke belakang. Di sana dia terjumpa Ain sambil mengutip cawan di dalam raga atas para.

“ Masuklah. Buat macam rumah sendiri. Nenek ada kat dalam.” Tegur Ain setelah mendapati Amran terpacak tak terkutik seperti terkena sampuk. Setelah megutip beberapa buah cawan dan teko, dia masuk semula ke dalam. Kedengaran bunyi papan dipijak tatkala Ain membolos ke dalam pondok semula. Amran mengelip-ngelip matanya. Seakan tak percaya Ain tinggal di pondok usang tersebut. Serba serbi kekurangan. Daifnya hidup Ain,hatinya merintih sayu.

Di gagahi kakinya melangkah ke atas pondok penuh hati-hati. Pondok seluas sekakang kera itu diperhatinya segenap sudut. Cuma terdapat sebuah tilam dan almari pakaian. Cermin yang pecah separuh tergantung di dinding bersama bedak bayi. Kelihatan nenek Ain terbaring di atas tilam nipis dengan berbalut kain batik paras dada. Dia merapati lalu menyalaminya. Dia sedar ada aroma menyusuk hidungnya namun ditahan sebaik mungkin.

“ Awak,nenek berak tuh. Duduk jauh-jauh. Kejap lagi saya cuci. Mari lah sini,minun dulu. Saya buatkan kopi o saja.” Ain menegur tatkala menyedari wajah Amran berkerut-kerut menahan bau.

“ Oh,nenek awak berak.Saya bantu awak cuci yer?” Amran menawarkan pertolongan.

“ Sanggup ker?Saya dah biasa buat sendiri.” Ain merapati neneknya. Neneknya tersenyum melihat wajah cucu kesayangannya.

“ Siapa ni Ain?” Neneknya bersuara kemudian terbatuk-batu kecil.

“ Kawan Ain. Amran namanya.” Ain memperkenalkan Amran kepada nenek. “ Dia ni la tolong hantar Ain balik.”

Amran membuahkan senyuman ikhlas kepada nenek yang sedang memandangnya kini.

“ Terima kasih hantarkan Ain balik.” Nenek cuba bersuara, namun kedengaran lemah sahaja.

“ Tak ada apa-apa nenek. Bukan susah pun kayuh basikal. Cuma penat sedikit saja lah.” Amran tersengih lalu mengalihkan pandangan ke arah Ain yang sedang mencari sesuatu dalam almari. Kelihatan Ain mengeluarkan lampin pakai buang. Segera dia merapati Ain.

“ Boleh saya tolong?”

Ain angkat wajahnya. Mata mereka bertaut lagi.

“ Benar? Kalau macam tuh awak bawakan nenek ke luar. Dekat baldi air. Kita mandikan nenek.” Sepantas kilat Amran mendapatkan nenek. Dicempungnya tubuh nenek yang kurus menuju ke luar pondok. Didudukkan nenek di atas kerusi malas yang sudah tersedia di tepi baldi. Tidak lama selepas itu, Ain muncul bersama perkakas mandian nenek.

Sejak dari hari itu, hubungan mereka bertambah rapat. Setiap petang selepas selesai menguruskan hal nenek, mereka akan sama-sama akan menyediakan nasi lemak untuk dijual malam karang. Malah mereka bersama-sama mengulang kaji pelajaran. Amran menggunakan kelebihannya mengajar subjek pelajaran yang Ain kurang paham. Mereka berazam untuk berjaya dalam SPM nanti. Ain mahu buktikan orang susah sepertinya mampu berjaya juga. Malah Amran juga berazam untuk membantu Ain hingga berjaya.

“ Hari nih,laku nasi lemak kita. Semua habis dijual. Boleh lah kita balik awal.” Girang nada suara Ain tatkala melipat alas meja. Amran tersenyum, bersama Ain, dia mengerti pahit maung mencari sesuap nasi. Sebelum ini, dia hidup penuh dengan kemewahan. Apa yang di hajati pasti papanya akan menunaikan. Sayangnya dia dahagakan kasih sayang seorang bapa dan ibu. Bukan wang ringgit yang menjamin kebahagian. Orang tuanya saban hari sibuk mengejar wang, meraih populariti orang kampung. Al-maklum lah, bapanya penghulu kampung. Ibunya giat berpersatuan hinggakan hal anak terabai. Bersama Ain, hatinya senang. Berkongsi kasih sayang dengan nenek Ain, dia berasa sangat bahagia. Walaupun terpaksa melalui hidup susah bersama Ain, tetapi itu sudah memberikannya kepuasan dalam hidup.

“ Woi....nasi lemak basi!!!” Jeritan nyaring dari arah hadapan dengan di selang seli bunyi deruan enjin motor menyentak mereka berdua. Kelihatan Johan dan Borhan berlegar-legar di hadapan meja jualan. Berkerut seribu di dahi Ain.Amran tercengan-cengang melihat aksi Johan dan Borhan.

Tanpa di duga, Johan menyepak meja jualan hingga bertaburan papan-papan yang menjadi alas meja jualan. Patah papan-papan tersebut.Tidak cukup dengan itu, Johan dan Borhan melanggar meja jualan hingga rosak jadinya. Hancur luluh hati Ain. Ditahan airmatanya daripada mengalir. Kedengaran sorakan kegembiraan oleh Johan dan Borhan.

“ Lain kali, jangan cari pasal dengan kami.” Jerit Borhan. Johan mengekek ketawa. Puas hati aku! Serentak dengan itu, mereka beredar dengan ngauman enjin yang kuat berisyarat memberi amaran kepada Ain dan Amran. Ain mengetap giginya kuat. Sakit hatinya pada Johan dan Borhan meluap-luap. Kau tunggu!Kau ingat kau hebat!!


Hari ini sejarah akan berulang lagi dan hari ini juga hari peperiksaan SPM. Dia mengulum-ngulum senyuman. Selepas memberi semangat kepada Amran, dia menyempurnaan niat jahatnya terhadap Johan dan Borhan. Sakit hatinya perlu berbayar. Sejak kejadian Johan dan Borhan melingkupkan meja jualannya, makin galak Johan dan Borhan membuli dirinya dan Amran. Pernah Johan menyebarkan fitnah bahawa dia memberi surat cinta kepada Johan.Walhal terang-terang tulisan dalam surat itu adalah tulisan Johan sendiri. Sejak hari itu dia menjadi bahan ejekan Johan dan rakan-rakan selokah yang lain. Malah pernah juga Johan menarik tudungnya setiap kali mereka bertembung dan kerap kali juga dia melarikan diri daripada Johan. Namun makin jauh dia melarikan diri, makin dekat Johan mendekatinya. Tidak kurang juga Amran menjadi mangsa buli Johan dan Borhan. Dua lelaki samseng itu tidak pernah serik. Amran juga sudah lali menjadi mangsa Johan dan Borhan. Sehinggakan Amran berani melawan Johan dan Borhan. Namun Johan dan Borhan tetap akan menang. Dua lawan satu. Memang tidak adil.Hari ini dia nekad untuk mengena Johan dan Borhan.

Seusai peperiksaan, gamat dewan peperiksaan dengan jeritan Johan. Melompat-lompat Johan sambil membuang beg sekolahnya. Melihat aksi Johan umpama monyet, seisi dewan ketawakan Johan. Tidak terkecuali dirinya dan juga Amran. Malah ketawa mereka yang paling kuat. Puas hatinya mengena dan memalukan Johan depan orang ramai. Dia tahu Johan takutkan katak. Subuh-subuh lagi Ain mencari katak lalu diletakkan ke dalam beg sekolah Johan.

“ Siap kau Ain!!!” Lantang suara Johan bergema. Semua mata memandang ke arah Ain. Ain sekadar tersengih kambing lalu laju melangkah keluar dari dewan bersama-sama Amran. Dalam masa yang sama mereka berdua mengekek ketawa.


Segalanya akan berlalu bersama-sama anjakan masa. Begitu juga dengan kisah mereka. Masing-masing telah berjaya dan membawa haluan sendiri. Mungkin ada yang telah berumah tangga, mungkin juga yang masih membujang. Adapun sudah bekerja dengan jawatan yang membanggakan, ada juga sekadar kuli mencari sesuap nasi. Namun semua ini telah menjadi perjalanan hidup berlandaskan takdir Tuhan.

Setelah tiga puluh tahun berlalu, Amran terasa dirinya makin tua, nyawa bagai dijemput-jemput. Kedut di wajah bertambah, tulang belakang mulai membongkok. Terkenangkan pahit dan manis semasa zaman sekolah banyak meninggalkan kesan dalam hidupnya. Entah silap apa dia gagal meraih cinta Norain Khaifara. Bagi Ain, dirinya tak lebih sebagai sahabat karib. Tetapi mengapa dia dapat merasa cinta di dalam mata Norain Khaifara. Akibat kecewa dengan Ain, dia bergelandang membawa diri. Dan hari ini dia berteleku di bawah pohon kemboja bersama-sama sahabat lama yang dahulunya mereka bermusuhan.

“ Kenangan lalu jangan dikenang lagi. Arwah dah lama pergi. Dah bertahun-tahun. Selepas kau menghilangkan diri dia kerap jatuh sakit. Di tambah pula tak lama lepas itu, nenek dia meninggal.” Johan memejamkan matanya sebentar. Mungkin menahan getar dalam hati. “ Semuanya salah aku.”

Sudah lama sebenarnya mereka berdua berteleku di bawah pohon kemboja, mengimbas kembali kenangan lalu. Perjumpaan tidak sengaja di tanah perkuburan islam antara Amran dan Johan mencetus memori lama tersingkap semula. Niat asal Amran menziarahi kubur ibubapanya, namun dengan izin Allah S.W.T, dia bertemu kembali dengan Johan yang sedang menyedekahi ayat-ayat suci Al-Quran di sebuah kuburan.

“ Aku bersalah terhadap arwah. Kerana dendam terhadap arwah, aku aniaya arwah,” luah Johan dengan penuh kekesalan. Amran menggelengkan kepala. Serta merta hatinya berasa sakit dengan pengakuan Johan.

“ Apa sebenarnya yang kau telah lakukan terhadap arwah?” Ditahan-tahan hatinya agar syaitan tidak menghasutnya membarakan api kemarahan.

“ Selepas kau hilangkan diri dulu, aku ada buat sesuatu ke atas arwah.” Amran bingkas bangun lalu menarik kolar baju Johan. Kejap cengkamannya di kolar baju Johan. Johan sedakar mendiamkan diri. Dia tahu Amran sayangkan Ain. Mungkin dengan apa yang bakal dia luahkan, berterus terang, dirinya akan menanggung natijah.

“ Apa kau buat pada Ain? Cakap dengan aku!” tengking Amran. Kalau dulu dia amat takutkan Johan tetapi dengan usia yang berganjak tua membawanya bersama-sama keberanian dalam diri serta pengalaman hidup. Kini, Johan kelihatan kerdil pada pandangan matanya. Johan pula menelan air liurnya. Terasa berpasir.

“ Kau cakap sebelum penumpuk aku singgah ke muka kau!” bentak Amran. Matanya mencerlung tepat ke mata Johan.

“ Sabar Am.. Dengar dulu apa aku nak terang. Kau jangan lah macam ni. Aku akui aku salah tapi jangan buat aku macam ni. ” Terketar-ketar Johan menyusun ayat. Akhirnya Amran melepaskan genggaman di kolar baju Johan. Dihela nafasnya panjang. Dia duduk kembali di bawah pohon kemboja.

“ Aku memang berdendam dengan arwah. Tapi dalam masa yang sama aku jatuh cinta dengan dia. Aku dengki tengok kau dan arwah rapat. Aku selalu kacau-kacau dia sebab aku nak tarik perhatian dia. Tapi dia tetap beri perhatian pada kau.” Amran memejam matanya tatkala mendengar luahan hati Johan. Dia akui dirinya lebih mendapat perhatian daripada Ain. Tapi kenapa kau tak balas cinta aku Ain?

“ Di sebab dendam dan sakit hati, aku perkosa dia. Aku nak Ain jadi milik aku. Dan akhirnya dia setuju kahwin dengan aku selepas setahun kau hilangkan diri dan di sebab itu juga dia pendam perasaan dia pada kau. Dia sememangnya cintakan kau.” Akhirnya Johan menangis. Tersedu-sedu seperti budak kecil. Dalam hatinya terbit perasaan kesal yang teramat.

Amran mengetap giginya kejap. Sakit hatinya pada Johan membuak-buak. Selama tiga puluh tahun dia membawa diri dengan cinta tidak berbalas. Rupanya ini lah sebabnya Ainmenolak cinta tulusnya. Tanpa di duga, satu penumbuk yang padu singgah ke pipi Johan. Terkedu Johan namun dia tidak melawan.

“ Kau pukul lah aku, buatlah apa kau suka. Aku tahu aku salah. Aku pisahkan kau dengan dia. Tapi, aku amat cintakan Norain Khaifara!” tegas Johan. Matanya tepat merenung ke dalam mata Amran. Mahu menegaskan dia ikhlas menyintai Ain.

Amran meraup wajahnya. Beristighfar seketika di atas keterlanjurannya. “ Maafkan aku. Aku terlalu ikutkan hati."

“ Aku faham. Kau sayangkan Ain dan aku buat jahat terhadap Ain.” Mereka kembali bercerita. Masing-masing meluahkan perasaan yang terbuku di lubuk hati.


Malam itu, saat bulan purnama menghiasi dada langit, mereka duduk di pangkin seperti malam-malam selalunya selepas menjual nasi lemak. Menikmati keindahan malam bersama-sama membuatkan Amran dibuai rasa cinta yang asyik. Dia sudah tidak dapat menahan rasa cintanya pada Ain. Malam itu dia nekad meluahkan isi hatinya.

“ Saya sebenarnya sukakan awak Ain.” Lalu sebentuk cincin disua kepada Ain. Pengakuan itu benar-benar menyentakkan Ain. Mata Amran ditatapnya untuk kepastian.

“Benar,saya sayangkan awak. Bila saya dah masuk dalam dunia awak, saya dah jatuh hati. Awak. Awak seorang yang tabah, mengajar saya erti kehidupan.” Bicara Amran terhenti di situ tatkala menyedari ada titisan manik-manik jernih di pipi Ain.

Dia menggeleng-gelengkan kepala. Enggan mengakui cinta Amran terhadapnya. Dia sedar dia tidak layak buat Amran.

Di waktu itu, dunia seakan berhenti seketika, sunyi sepi. Hanya bunyi cengkerik menjadi irama malam itu. Pergerakan daun getah jatuh ke lantai bumi pun perlahan-lahan. Bunyi motosikal yang lalu lalang antara kedengaran dengan tidak. Semua mata memandang ke arah mereka. Haiwan-haiwan turut memberi perhatian mahu mendengar jawapan daripada mulutnya.

“ Saya cuma anggap awak sebagai kawan baik. Maafkan saya.” Kakinya terus melangkah meninggalkan Amran yang tergegau. Setiba di hujung kebun, dia menitiskan airmatanya. Kala ini hatinya benar-benar tersayat. Igaun Johan terus meghantuinya. Terngiang-ngiang di telinganya kata-kata Johan.

“ Sama ada kau suka atau tak, kau tetap akan jadi milik aku. Aku takkan biarkan budak skema tu dapat kau. Kau jangan ingat lepas ni kau dapat tagih cinta Amran. Aku akan buat kau melulut, merayu pada aku!”

Airmatanya menitis lagi. Dia seperti ketulahan. Akhirnya dengan dia akur dengan Johan. Selepas beberapa bulan Amran menghilangkan diri tanpa khabar dan perut makin memboyot akibat perbuatan Johan, dia setuju dengan pinangan Johan.


Selama melayari bahtera perkahwinan dengan Johan, Ain cuba menyingkirkan rasa cintanya pada Amran dan membuang perasaan itu jauh-jauh. Selama itu juga Johan cuba memikat hatinya namun dalam jiwanya kosong. Hari demi hari dia makin tenat. Dengan kerinduan terhadap nenek yang menghembus nafas terakhir, dengan kerinduan yang tidak dapat di lafazkan buat Amran dia kelelahan. Genap sembilan bulan dia melahirkan anak hasil hubungan ketidakrelaannya, dia menutup mata buat selama-lamanya. Konsekuensinya Johan menyesali perbuatannya dan nekad membela sang puteri dengan penuh kasih sayang bukti cintanya buat Ain.


“ Itulah anak aku. Puteri Maisarah.” Johan menunjuk ke satu arah. Amran menoleh dan memandang ke arah yang di tunjukkan. Kelihatan seorang gadis sedang berdiri di luar kereta. Wajahnya saling tidak tumpah seperti wajah yang bertahun-tahun dia memendam kerinduan. Akhirnya dia akur dengan takdir hidup. Dia tersedar, selama mana dia harus bermimpi lagi. Seakan meresap satu semangat yang baru, dia harus bangun. Meneruskan sisa-sisa hidupnya walaupun dalam hatinya cinta pada Norain Khaifara tersemat kukuh.

“ Berilah cincin ini pada Puteri Maisarah. Ini tanda cinta aku buat Ain.” Akhirnya dia melangkah pergi.


Hati ini tak menyangka
Bila akhirnya kau tinggalkanku
Tak tertahan luka ini
Ku menangis tak kuasa
'tuk menahan pedihnya hatiku
Tanpa ada kata kau meninggalkanku
Menyisahkan luka dihatiku
Betapa sakitnya relung batinku
Merasakan hilangnya cintamu
Malam ini tak seperti
Malam kemarin saat kau peluk aku
Malam ini tak seperti
Malam kemarin saat kau bersamaku
Malam ini tak seindah
Malam kemarin
Jiwa ini tak menduga
Bila ku harus kehilanganmu