Monday, June 18, 2012

Taubat HIV


 Dia berteleku lama di atas sejadah bersama lenangan airmata. Perit di hati diserah bulat – bulat pada Allah SWT sambil lidahnya tidak kering berzikir. Menginsafi keadaan diri. Peristiwa silam yang cuba di lupakan, menjelma menyesalkan kalbu.
“Ala beb! Bukan lama pun kita di sini. Sekejap saja. Kalau kau rasa tak seronok, kau balik la lepas tu.”
“Ye lah.. Sangat bagus cadangan kau sebab aku datang ke sini pun tumpang kau juga.”
Natalia menjeling sekilas kepada Nasya.
Nasya tersengih-sengih.
Rentak lagu disko setempo dengan degup jantung Natalia. Dia mula berasa selesa dengan suasana baru. Hinjut badan seirama lagu. Tidak lama Natalia mendiamkan diri, dia menari bersama Nasya.
Dua orang lelaki sebaya mereka, mendekati dan menari bersama.
Pada mulanya Natalia berasa rimas, tetapi melihat gelagat Nasya yang begitu terbuka, dia menari bersama lelaki-lelaki tersebut tanpa kekok.
“U look so sexy baby.”
Natalia berasa bangga. Makin galak dia meliuk-liukkan badan seirama lagu. Syaitan mula bertepuk tangan kerana hasutan menjadi.

Dia bersujud dan menangis semahunya mohon keampunan Allah SWT. Terasa sangat hina dengan kejahilan lampau. Hidup bebas tanpa pegangan dan batasan membuatkan dia terasa kotor selayaknya manusia diciptakan daripada tanah. Namun dengan akal, manusia diangkat darjat sebagai khalifah di muka bumi. Hakikatnya dia tewas dek hasutan syaitan dan hawa nafsu.
“Belum terlambat untuk bertaubat selagi nyawa belum bercerai daripada badan.”
Kata-kata bonda meresap ke dalam jiwa.
Malam itu dia sembahyang taubat dan hajat agar dosa lama mendapat keampunan.

…........................................................................................................

“Sudah berapa dia berkeadaan macam ni, Nurse?” soal Natalia sebaik tiba di kaunter jururawat Hospital Mawar Hidayah.
“Sudah sebulan. Maaf, saya tumpang bertanya,” pinta jururawat bernama Wardah.
Natalia mengangguk.
“Cik Nasya ada keluarga tak? Saya mahu cari keluarga Cik Nasya untuk beritahu keadaan Cik Nasya supaya ada ahli keluarga dapat bacakan surah Yassin pada saat-saat begini. Cik Nasya makin tenat.”
Nasya terpempan.
“Dia ada keluarga. Dia tak bagi tahu ke Nurse?”
Wardah mengangguk.
“Tak apa Nurse, saya yang akan bagitahu keluarga Cik Nasya. Saya dengan Cik Nasya dah macam adik beradik. Tergamak dia sembunyikan hal ini daripada saya. Patut lah lama dia menghilangkan diri.”
Natalia sebak. Sedaya upaya dia mengawal emosi, namun tewas apabila melihat Nasya terbaring tenat di atas katil.
“Sabar ye Cik.. Mungkin dia ada sebab buat macam ni. Kita kena redha dan banyakkan berdoa untuk kesejahteraan dia,” pujuk Wardah.
Buku surah Yassin diserahkan kepada Natalia.
Terkebil-kebil Natalia melihat pemberian Wardah.
“Ambil lah.. Bacakan untuk Cik Nasya.”
Lambat-lambat Natalia menyambut huluran Wardah. Tersentak seketika hati Natalia.
Sudah lama dia tidak mengaji ayat-ayat suci Al-Quran. Hari itu, dia membaca surah Yassin dengan tergagap-gagap bersama Wardah.
Dengan izin Allah, tercampak perasaan takut melihat betapa azabnya Nasya ketika itu dan bermulalah persahabatan antara Natalia dan Wardah.
…............................................................................................................

Hari-hari Natalia melawat Nasya di hospital. Setiap pagi juga, dia akan membantu Wardah mandikan Nasya kerana Nasya tidak dapat menguruskan diri akibat terlalu tenat. Nasya juga bersambung nyawa dengan alat bantuan pernafasan kerana kondisi paru-parunya terlalu teruk.
Di situ Natalia belajar banyak perkara melalui Wardah. Wardah juga bersyukur kerana Nasya mempunyai kawan sebaik Natalia.
Selalunya pesakit seperti Nasya akan disisihkan. Tidak terkecuali dengan keluarga Nasya sendiri. Selepas Natalia memaklumkan keadaan Nasya kepada keluarga Nasya, mereka terus pindah ke luar negara. Al-maklumlah keluarga Nasya berada dan agak kolot. Bagi mereka apa yang menimpa pada Nasya adalah sial bagi keluarga mereka. Begitulah kepercayaan jahil keluarga Nasya.
Itu sudah Natalia jangkakan. Mungkin sebab itu juga Nasya lansung tidak berhubung dengan keluarganya.
“Wardah, boleh kah saya bertanya tentang penyakit Nasya?” soal Natalia ketika dia mengajak Wardah keluar pada satu petang.
“Boleh jika itu adalah untuk pengetahuan Lia tentang penyakit tersebut. Niat saya bukan untuk aibkan Nasya. Tapi kita perlu tahu tentang penyakit itu. Buang stigma negatif dalam hati bila kita faham.”
“Saya faham. Macam mana Nasya boleh dijangkiti AIDS?”
AIDS adalah nama yang diberi kepada sekumpulan penyakit yang menjangkiti orang yang menghidapi HIV positif. Ia berlaku apabila sistem daya tahan badan orang tersebut menjadi semakin lemah dan tidak berupaya melawan penyakit. Jadi tubuh Nasya tidak kuat untuk melawan penyakit yang menyerang dia.”
Natalia mengangguk faham.
“Macam mana Nasya boleh terkena HIV positif?”
“HIV hanya boleh dijangkiti melalui cara-cara seperti melalui perhubungan seks tidak selamat seperti bertukar pasangan, tidak memakai kondom semasa hubungan seks, melanggan pelacur atau gigolo atau melalui perkongsian jarum suntikan, mugkin juga melalui ibu kepada bayinya semasa kehamilan, kelahiran atau penyusuan.”
Wardah menarik nafas seketika. Natalia begitu tekun mendengar penjelasan daripada Wardah.
“HIV hanya boleh berjangkit melalui darah, air mazi dan air mani termasuk darah haid. Darah atau cecair-cecair badan boleh memasuki salur darah orang lain melalui luka, kesan lecetan atau kudis. Dari situlah bagaimana kita boleh dijangkiti HIV positif.”
Natalia mulai berasa gerun. Dia berfikir sejenak. Dia akui, dia dan Nasya selalu mengadakan hubungan seks tidak selamat. Mungkin daripada situ Nasya dijangkiti.
Mendengar penjelasan daripada Wardah membuatkan Natalia takut kalau-kalau dia juga dijangkiti HIV, terus dia menangis semahunya.
Wardah terpinga-pinga melihat reaksi Natalia.
“Kenapa Lia? Maafkan Wardah jika Wardah buatkan Lia bersedih,” pujuk Wardah seraya memeluk Natalia.
“Saya dan Nasya telah menyimpang jauh. Kami selalu adakan seks bebas dengan pasangan lain silih berganti.”
Wardah beristighfar dalam hati sahaja. Namun dia tidak pandang jijik pada Natalia. Malah dia mahu bimbing Natalia ke jalan yang benar.
“Dalam Islam zina adalah haram. Zina bermaksud, hubungan seks luar nikah yang dilakukan secara rela antara seorang lelaki dan perempuan. Walaupun ia dilakukan secara rela, ia adalah haram dan mendatangkan dosa.
Di dalam sebuah hadis Nabi Muhammad bersabda, “Wahai Muslimin, jauhilah zina kerana perlakuannya mendatangkan enam keburukan, tiga di dunia dan tiga di akhirat.” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban, dan Al-Hakim) ujar Wardah secara berhemah.
Natalia tersedu sedan. Dia mengakui hujah Wardah. Dia sudah jauh terpesong dan melakukan dosa besar.
“Kami telah terjebak sejak usia 15 tahun lagi. Masa itu kami masih mentah. Jiwa muda mendorong kami untuk mencuba segalanya termasuklah arak, seks dan macam-macam lagi.”
Natalia mengesat airmata.
“Daripada petikan blog yang pernah saya baca, menurut Dr. David Weeks, seorang pakar neuropsikologi dari Hospital Royal Edinburgh, membuat kajian selama sepuluh tahun untuk mengenal pasti kesan seks ke atas kesihatan manusia.
Beliau memberi amaran bahawa perubahan-perubahan positif kesan dari hubungan seks tidak akan berlaku ke atas mereka yang suka bertukar-tukar pasangan, malah kadangkala mereka yang seperti ini mengalami perubahan yang negatif disebabkan kerisauan dan tekanan yang sering melanda mereka hasil dari perbuatan mereka itu. (Rujuk BBC News, Sex Keeps You Young, 10 March 1999)
Dari sudut agama, padahnya lebih jelas lagi. Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad bersabda, “Wahai Muslimin, jauhilah zina kerana perlakuannya mendatangkan enam keburukan, tiga di dunia dan tiga di akhirat. Adapun tiga yang diperolehi di dunia ialah hilangnya seri di wajah, memendekkan umur dan mendatangkan kefakiran. Tiga yang diperolehi di akhirat ialah kemurkaan Allah, hisab yang buruk dan azab neraka.” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban, dan Al-Hakim)
Natalia termenung jauh. Mengenang dosa-dosa yang pernah dia buat.
“Tetapi Lia harus ingat, setiap dugaan ada hikmahnya. Mungkin dengan musibah yang terjadi pada Nasya mampu membuatkan Lia berubah kepada kebaikan.
Firman Allah “Dan Dialah yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan memaafkan kesalahan-kesalahan dan mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Asy-Syuura: 25).
Tanpa di duga Natalia memeluk Wardah seeratnya dan menangis di bahu sahabatnya.
“Wardah... Saya mahu berubah. Saya tak mahu lagi hidup bergelumang dosa.”
Airmata Natalia laju membasahi pipi.
Wardah sekadar menggosok lembut belakang Natalia bagi menenangkannya.
“InsyaAllah.. Wardah akan bantu Lia.”

.................................................................................................................
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.” (At-Tahrim: 8)

“Hello... U call I juga akhirnya. Ingatkan U dah lupakan I.”
Manja nada suara Natalia tatkala menyambut panggilan telefon. Tangannya memintal-mintal hujung rambut.
“Mana boleh I lupakan U yang cantik ni.. Manja lagi tu,” ujar Robert di sebelah talian. Lelaki yang di kenalinya semasa clubbing tempoh hari.
Puas dia menggoda Robert dengan pelbagai aksi manja, akhirnya Robert jatuh ke dalam tangannya. Mana tidaknya, Robert sangat terkenal di club yang selalu dia lepak. Orangnya berwajah pan-asian, bertubuh sasa dan bermata layu membuatkan Natalia nekad menggoda Robert. Sekiranya dia berjaya memancing Robert, Nasya akan memberi habuan yang sangat lumayan.
“U nak ajak I keluar ke malam ni?”
“Itulah sebab I call U. I nak jumpa U.”
Natalia menggigit bibir.
“Nak jumpa di mana?”
“I ambil U. Jam 10 malam. Okay?”
“Okay sangat. I tunggu U.”
Talian diputuskan.
Natalia tersenyum-senyum. Nampaknya ikan sudah mengena umpan.
Seperti yang di janjikan tepat jam sepuluh mereka keluar menikmati malam yang masih muda. Makan di restoran yang ekslusif di sekitar kota raya membuatkan Natalia bangga berpacaran dengan Robert. Sikap Robert yang budiman, membuatkan hati Natalia cair.
“U cantik sangat malam ni. I suka dress hitam U ni. Buatkan U bertambah seksi,” pancing Robert semasa mereka berada di dalam kereta.
“Betul ke? I rasa I tak cantik pun.”
Natalia malu-malu kucing. Padahal dalam hati sudah kembang semangkuk.
“Betul... Badan U.... buatkan I tergoda,” puji Robert sambil mengambil kesempatan mengusap paha Natalia.
Natalia hanya membiarkan. Hatinya berdegup kencang dengan sentuhan lembut daripada Robert.
“I ada sesuatu untuk U. Itu pun kalau U sanggup ikut I malam ni,” umpan Robert.
“Apa kah? Bagitahu la I,” degup jantung Natalia semakin rancak.
“U ikut I dulu.”
Enjin kereta dihidupkan lalu membelah kepekatan malam.
….......................................................................................................

Natalia menangis lagi. Al-Quran di letakkan ke tepi. Peristiwa malam itu membuatkan Natalia menyesal seumur hidup. Sungguh dia tidak sangka, dia telah masuk perangkap Robert. Malam itu, hilanglah mahkotanya di tangan Robert.
Mulanya dia hanya mahu keluar dengan Robert untuk buktikan pada Nasya dia berjaya pikat Robert. Ternyata Robert terlebih dahulu memasang jerat.
Sejak peristiwa malam itu,Natalia berubah menjadi playgirl. Semua lelaki yang di kenalinya pernah menidurinya. Sedikit pun tiada perasaan kesal terbit di hatinya. Baginya, hidupnya sudah musnah. Puas Nasya menasihatinya tetapi apa yang terjadi sebaliknya, Natalia melibatkan Nasya dalam aktiviti hitamnya. Akibat darah muda dan tanpa bimbingan agama secukupnya, Nasya turut mengikut jejak langkah Natalia.
“Maafkan aku Nasya. Aku lah punca kau terjangkit HIV. Sebab aku lah kau sakit macam ni.”
Natalia menangis mengenangkan Nasya yang terkujur kaku di hospital. Perasaan bersalah kuat menyelubungi dirinya.
“Kalau lah aku tidak kenalkan kau pada John, tentu kau tak jadi macam ni. Semua ni salah aku..”
Natalia memejam mata. Tertayang kembali peristiwa dia menemukan John kepada Nasya. Nasya pula pantang berjumpa lelaki yang kacak, pasti hatinya cair.
Natalia juga tidak sangka hubungan Nasya dan John sudah jauh melepasi sempadan. Malah bukan dengan John tetapi dengan beberapa lelaki lain yang Natalia sendiri tidak kenal.
Masa itu, Nasya dikaburi dengan wang ringgit. Hidup Nasya sangat mewah masa itu.
“Kalau lah aku dapat putarkan masa ke belakang, aku tak nak tempuh jalan hitam tu lagi. Aku menyesal...... Ya Allah, sesungguhnya Kau lah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
…...............................................................................................
Natalia merenung jauh menerusi jendela. Sudah genap seminggu Nasya meninggal dunia. Semua urusan jenazah, Natalia dan keluarga yang tanggung. Malah, sudah seminggu Natalia berubah. Tiada lagi pakaian seksi yang menjolok mata tapi digantikan dengan jubah dan tudung. Malah Natalia memutuskan hubungan dengan kekasihnya yang hanya mahukan seks sahaja daripadanya.
Dia nekad untuk tinggalkan zaman hitamnya. Dia mahu menjadi insan yang baru. Yang taat pada agama.
Kepermergian Nasya meninggalkan kesan yang hebat dalam hidupnya.
Sesungguh Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dia telah memberi hidayah kepada Natalia melalui apa yang telah terjadi kepada Nasya.
Sepenuhnya Natalia mengambil iktibar apa yang terjadi kepada Nasya kepada dirinya. Dia bersyukur yang teramat kerana diberi hidayah dan dia masih belum terlambat untuk bertaubat.
Melihat perubahan yang ketara pada diri Natalia, keluarga Natalia yang paling gembira. Bonda Natalia berkali-kali memanjatkan kesyukuran ke hadrat illahi. Malah bapa Natalia yang seoarang mualaf turut bersyukur dengan perubahan Natalia.
“Yang pergi jangan dikenangkan. Banyakkan berdoa untuk kesejahteraan arwah,” tegur bonda sambil meramas lembut bahu Natalia.
“Lia bersyukur bonda kerana masih mempunyai nyawa untuk bertaubat.”
Bonda mencium pipi anak kesayangan.
“Bonda lagi bersyukur melihat Lia seperti ini. Sekurang-kurangnya bila bonda meninggal, ada anak yang solehah untuk mendoakan bonda dan ayah nanti.”
“Bonda... jangan lah cakap macam tu.”
Natalia pantas memeluk tubuh bonda.
“Kematian itu pasti.. Ajal maut di tangan Allah. Bonda bangga ada anak macam Lia.”
“Lia ada banyak dosa bonda.”
“Belum terlambat untuk bertaubat selagi nyawa belum bercerai daripada badan.”
Lantas bonda mengelus mersa pipi Natalia.
Sesungguhnya, hidayah Allah sangat luas dan Allah mampu memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki.
Malah Natalia bebas daripada virus HIV dan dia lebih tenang menjalani kehidupan sebenar-benarnya seorang muslimah.


Renungan bersama mencegah AIDS/HIV........
-Jangan lakukan hubungan dengan orang yang tidak dikenali
-Jangan lakukan hubungan seks bertukar-tukar pasangan.
-Ketahuilah status kesihatan anda sendiri di samping mengetahui kegiatan seksual pasangan anda.
-Buatlah keputusan yang bijak dalam memilih pasangan untuk berkahwin kelak.
-Yang penting, hiduplah kita pada landasan yang betul iaitu ISLAM.