Friday, November 4, 2011

Cinta Gemuk-Gemuk




Lihatlah... Itu mama aku. Orangnya sangat jelita. Berdarah campuran arab dan melayu. Berbudi bahasa dan bersopan santun. Sangat cekap menguruskan hal rumah tangga. Makan pakai kami sekeluarga amat terjaga dan juga seorang yang menjaga penampilan. Padan sehingga sekarang ( aku ni kiranya dah boleh jadi bini orang) papa aku sangat-sangat menyintai dan menyayangi mama aku.
Urmmm..... Tapi tengoklah aku, sudahlah tak cantik. Gemuk macam beruang. Memang padan dengan umur aku yang sudah mencecah lewat 20-an tapi masih tidak berpunya. Kadang-kadang aku cemburu dengan mama aku sendiri. Kenapalah aku tak secantik mama. Walhal kami mempunyai DNA yang sama. Sepatutnya aku mesti lebih cantik daripada mama aku. Aku muda belia tetapi mama aku yang sudah boleh di kategorikan veteran, masih awet muda. Tetapi kenapa bila kami bergandingan, orang akan cakap aku kakak kepada mama aku sendiri. Waktu itu, berkeping-keping coklat aku lahap dek tekanan yang melampau (ter-over plak). Mulalah aku membelek-belek tubuh aku yang macam nangka ni depan cermin sampai retak cermin menatap tubuh aku yang memang tak cun.
Gelas yang berisi minuman coklat kegemaran, aku letak atas meja. Aku menyusun langkah menuju ke jendela. Mata aku meliar mencari sesusuk tubuh. Tak lama selepas aku mencari-cari, mata aku terpaku pada seorang jejaka yang sedang seronok berbual dengan papa dan mama aku. Sakan mereka ketawa sehinggakan aku yang tajam memerhati mereka dari tingkat atas, lansung tidak perasan.
Aku merengus kuat. Aku meluat dengan kehadiran jejaka itu di kediaman kami. Tanda protes, aku sengaja menghentak-hentak kaki sekuat hati. Nasib baik konkrit lantai bilik kukuh. Kalau tak, mesti aku dah merudum jatuh ke tingkat bawah. Tergolek-golek macam nangka busuk. Cis!!! Dah melalut aku berangan.
Minuman kegemaranku habis diteguk dengan rakus. Tidak cukup dengan itu, aku menapak turun ke dapur mencari bahan makanan. Aku mula membayangkan syurga coklat yang tersusun dalam peti ais. Glup! Aku menelan air liur. Dengan senang hati aku membuka pintu ais. Namun, mata ku terbuntang luas.
“Mana makanan aku? Kenapa peti ais ni kosong?” gomel ku sendirian. “ Mak Utih!!!!!!” Nyaring nada suara ku memanggil orang gaji.
Apa lagi, terkocoh-kocoh Mak Utih berlari-lari mendapatkan aku di dapur. Riak wajahku sengaja dibengiskan tatkala Mak Utih terpacak di depan mataku. Aku perasan Mak Utih menunduk rapat ke bawah. Takut le tu...
“Mana semua makanan Scha? Coklat? Nugget? Burger?”
Aku lihat mata Mak Utih terkebil-kebil tatkala nada suara aku mengalahkan halilintar.
“Tak perlu nak marah-marah Mak Utih. Saya yang buang semua tu. Mulai hari ini, awak kena ikut diet saya,” sampuk seorang jejaka yang tampan.Badan ketul-ketul. Macam ahli bina badan.
Jejaka itu dah macam tok tenuk aku tengok. Rasa macam nak bagi lempang laju-laju sampai berputar kepala dia 360 darjah. Berasap-asap telinga dengar bila dia senang-senang buang makanan aku. Dia ingat aku beli semua tu pakai daun?
“Amboi-amboi sedara! Awak fikir saya akan ikut cakap awak? Ikut suka hati saja nak buang makanan orang. Tak sekolah ke?” Aku menjungkit kening ala-ala Ziana Zain. Mata dia aku tenung dalam-dalam.
“Awak tuh yang tak sekolah! Suka ke tak suka, papa awak dah lantik saya sebagai trainer awak. Mau tak mau, awak kena dengar cakap saya.” Ugutnya. Dia juga tak lepas bertentang mata dengan aku. Tak mahu kalah! Akhirnya mata aku yang ber kelip.
“Saya cakap saya tak mahu, saya tak mahu! Saya nak makan apa yang saya nak makan. Faham?” Aku menjerit sekuat hati. Sehinggakan mama dan papa menerpa masuk ke dapur.
“Ada apa ni sayang?” Mama bersuara. Ketika itu airmata aku dah mula bergenang.
“Dia ni.. Suka hati buang makanan Scha. Dia ingat dia siapa nak buang makanan Scha? Scha kerja penat-penat kumput duit beli tau. Bukan pakai duit dia.” Tika itu airmata dah mula mengalir. Papa sekadar menjadi penonton. Mak utih dah lama melarikan diri.
“Ooo...awak nak makan sangat kan?” ujar Zack a.k.a penasihat pemakanan ataupun lebih senang aku kenalkan sebagai trainer kurus aku. “Nah ambik ni. Makan ini saja.”
Zack menghulurkan sebiji buah epal yang dicapai dari meja makan.
Perlahan-lahan aku mencapainya dan menggigit geram buah epal itu. Zack tersenyum sinis.
“Cukup untuk hari ini saja.” Zack terus berlalu sambil menyanyi kecil.
Kecik saja aku tengok Si Zack tu. Kalau boleh aku nak bawa dia bertinju. Biar dia rasa macam mana aku tinju muka dia yang agak kacak tuh. Kacak ker? Macam mat bangla jual karpet ada lah!
“Scha.. mari sini. Mama dan Papa nak cakap sesuatu. Kita ke ruang tamu.” Arah papa sambil berlalu ke ruang tamu.
Lembut Mama menarik tanganku menuju ke ruang tamu. Setiba di ruang tamu, hati aku menggelegak semula. Aku mula angkat kaki. Rasa benci sangat-sangat bila tengok Zack sedang tersengih macam kerang busuk di sofa.
“Scha.... Duduk dulu. Papa pening lah dengan perangai Scha ni. Cuba sekali sekala dengar cakap papa dan mama. Ini asyik ikut kepala Scha saja.”
Papa mula bersuara membuatkan langkah aku mati serta merta. Wajah aku merah padam dan muncung sengaja aku tarik bukan sedepa tapi dua depa. Dengan geram aku melabuhkan punggung aku sebelah mama, bertentangan dengan Zack dan Papa. Ada meja kecil di antara kami.
“Papa buat semua ni demi kebaikan Scha. Bukan sengaja Papa upah Zack untuk kuruskan Scha. Papa nak tengok Scha jadi macam orang lain. Selama ini, Papa ikut saja kemahuan Scha. Papa tak peduli tentang kesihatan Scha. Jadi sekarang Papa nak bantu Scha berubah. Dari segi pemakan, kuruskan badan demi kesihatan anak Papa ni.”
Aku tunduk rapat ke bawah. Terasa berdesing telinga mendengar. Mama di sebelah mengenggam tangan aku seperti faham dengan gelodak hati aku kala ini.
“Mama pun setuju dengan Papa. Mama risaukan kesihatan Scha. Ramai kawan-kawan Mama sakit di sebabkan obesiti. Mama nak anak Mama sihat.”
Sangkaan aku meleset. Aku ingat Mama di pihak aku. Rupanya Mama juga bersekongkol dengan Papa dan Zack. Mana aku boleh ubah cara makan aku. Boleh mati aku macam ni kalau hanya makan epal 1 biji sehari
. Wawawawaaaa........ Pada siapa aku nak luah isi hati aku ni bahawasanya aku tak boleh hidup dengan hanya sebiji epal hijau.
“Papa bersalah pada Scha selama ni. Papa ikut sangat kehendak makan Scha. Kalau dari kecil dulu Papa kawal pemakanan Scha, tentu Scha tak jadi macam ni...” Papa terdiam seketika.
“Jadi apa Pa? Jadi gemuk?” Sayu nada suara aku. Sungguh saat ini hati aku pedih sangat. Mahu saja aku menjerit, tolonglah terima aku seadanya. Aku gemuk pun bukan menyusahkan orang lain. Apa yang aku nak makan, aku beli guna wang aku sendiri. Aku tak mengemis daripada siapa-siapa pun.
“Bukan macam tu maksud Papa... Papa risaukan kesihatan anak papa ni.”
Aku memaling wajah aku ke tepi. Aku sedar, sedari tadi Zack hanya mendiamkan diri, menjadi pemerhati konferen antara Papa, Mama dan aku.
“Scha benci Papa dan Mama....” Aku merajuk. Aku bingkas berlari mendaki tangga. Di pertengahan aku berhenti seketika. Saat itu, nafas aku tercungap-cungap. Terasa tersekat di kerongkong. Akhirnya aku rebah. Pandangan mata aku kelam, berbalam dan hitam.

…................................................................

Hampir pekak telinga aku mendengar bebelan daripada doktor peribadi keluargaku. Memang dah berbuih mulut Dr Aida menasihati aku supaya mengurangkan berat badan. Baru berlari-lari panjat dua tiga anak tangga, aku dah semput dan pengsan. Itu belum lagi berlari seratus meter.
Mama di sebelah sudah tersedu-sedu. Maklumlah aku ni anak tunggal. Tentulah Mama orang yang paling risaukan aku kalau berlaku apa-apa.
Papa pula tenang saja aku tengok. Zack... Mungkin sedari aku pengsan tadi dia jadi bodyguard tak berbayar ataupun mungkin menanti masa yang sesuai untuk fire aku. Tengok muka pun aku dah tau... Amat menjengkelkan hati.
“Saya nak balik ke klinik semula. Kalau ada apa-apa cepat telefon saya ye Dato.. Datin.” Dr Aida menyalami Papa dan Mama. “Ingat Scha apa yang saya pesan. Jangan masuk telinga kiri keluar telinga kanan.”
Aku mencebik bibir. Terngiang-ngiang setiap bebelannya sebentar tadi. Masa Dr Aida memberi ceramah pasal berat badan aku tadi, rasa macam nak himpit saja tubuh dia yang sekeping tuh dengan badan aku yang tiga kali ganda besar daripada dia.Baru Dr Aida nak diam kut.
“Baru pijak dua tiga anak tangga dah pengsan. Lepas ni, jangan harap saya nak bagi muka pada awak. Mulai esok, awak adalah milik saya.” Sinis sekali kata-kata Zack menyapa gegendang telinga aku. Aku bulatkan mata aku, menerung tajam ke dalam mata Zack.
“Awak ingat saya ni anak patung teddy bear awak? ?”
“We look and see.” Zack terus berlalu meninggalkan aku di dalam bilik sendirian.
Saat itu aku rasa sedih sangat. Aku bangun menuju ke cermin besar yang terpasang di dinding. Membelek-belek tubuh aku yang besar. Sekali-sekali aku membuat gaya ala-ala model. Adess.. Sakitnya mata aku memandang. Ini orang ke beruang?
Aku terus merebahkan diri ke atas katil. Fikiran aku menerawang jauh. Mula aku berangan-berangan. Membayangkan aku ni secantik bidadari. Bakal bertemu dengan putera idaman. Akhirnya aku tertidur dalam fantasi ciptaan ku sendiri.

…....................................................................

Mahu tak mahu, pagi itu aku terpaksa ikut Zack jogging. Mana tidaknya, pagi-pagi lagi Zack sudah menceroboh masuk ke dalam bilik aku. Akibat tertidur semalam aku tidak kunci bilik. Jadinya Zack masuk dengan sebaldi air lalu disimbahnya air tersebut. Akibatnya subuh-subuh itu aku berenang atas katil aku sendiri.
Masa mahu sarapan tadi aku lancarkan mogok makan. Geram dengan tindakan Zack tadi. Tapi Zack tetap macam mula-mula aku kenal dia. Seorang yang tiada perasaan.
“Awak nak makan ke tak nak itu awak punya pasal. Kalau awak pengsan semasa jogging, saya tak nak kutip beruang kutub utara balik rumah.”
Aku mengetap bibir sekuat hati. Geram sangat-sangat bila dia gelarkan aku beruang kutub utara. Kalaulah aku ada kuku yang panjang, memang dah lama muka Zack aku tukar jadi zombi! Mahu tak mahu mogor lapar aku tak menjadi. Itu pun Zack mencatu makanan aku.
“Saya hanya benarkan awak makan dua keping roti tanpa jem ataupun mentega. Sebab badan awak dah banyak lemak, jadi awak tak boleh makan minyak atau gula. Dan awak kena minum air teh kosong.” Zack tersengih-sengih sewaktu menyua makanan yang di maksudkan. “Cepat habiskan. Kita kena pergi jogging sebelum orang lain jogging.”
Dengan perasaan sebal aku habiskan juga sarapan pagi yang macam makanan pesakit kencing manis. Tak sedap lansung!
“Tak sedap lah awak... Boleh tak taruk jem. Sikit pun jadilah...” Aku cuba memancing simpati daripada Zack dengan muka yang aku buat secomel boleh. Namun dengan selamba dia membuang botol jem ke dalam tong sampah. Mendidihnya hatiku dengan tindakan Zack itu.
“Saya cakap tak boleh. Makan apa yang ada sahaja.” Zack bingkas bangun, duduk di sofa ruang tamu.
“Lagi 5 minit awak tak siap makan, saya buang semua makanan awak yang ada dalam pinggan tuh.”
Aku merengus geram. Mahu saja aku membaling pinggan dan cawan yang ada atas meja makan ke arah Zack. Biar bersepai muka Zack.
“Takkan tak siap lagi? Dah berkulat saya tunggu kat pintu ni. Saya kira sampai tiga saja.Kalau tidak saya.....” jerit Zack.
Cepat-cepat aku menghabiskan sisa minuman. Urmmm... sedap juga teh 'o' kosong ni...
“Saya datang la ni. Yang awak teruja sangat ni kenapa? Tunggu baru 5 minit dah bising macam burung kakak tua.” Dengan selamba aku menyarungkan kasut jogging. Sengaja aku menghimpitkan badan aku yang besar dengan tubuh Zack
“Kat sana banyak lagi ruang awak boleh pakai kasut sukan awak yang besar macam gajah tu. Kenapa kat sini juga awak nak berhimpit dengan saya?”
Aku buat-buat pekak. Memang aku sengaja. Sebab aku nak cari pasal dengan kau. Supaya kau akan putus asa jadi trainer aku.
“Pagi ni kita jog sekeliling kawasan perumahan awak ni.”
Zack dah mula berlari setempat di hadapan aku. Dengan malas aku bangun.
“Mula-mula kita akan warming up. Awak follow saja ok..”
Zack mula menunjukan langkah-langkah memanaskan badan. Katanya memanaskan badan bukan setakat menyediakan badan, tetapi juga menyediakan minda kita untuk berada dalam mood latihan .
Baru seratus meter berjogging, aku sudah tercungap-cungap macam ikan lemas. Namun aku gagahi juga untuk meneruskan latihanku. Pam ubat asma sentiasa di tangan aku kalau-kalau penyakit asma menyerang.
“Awak ni, belum jauh lagi jog awak dah semput. Cepat... Kalau macam ni, tengahari baru kita boleh berhenti jog.”
Aku berhenti seketika di pertengahan jalan. Manarik nafas dalam- dalam. Aku mesti kuat. Aku mesti kuat!!!
Entah kenapa tiba-tiba aku mendapat satu aura dan semangat untuk meneruskan latihanku pagi itu. Aku seperti tercabar dengan Zack. Sakitnya mata aku memandang Zack asyik menjeling pandang perempuan-perempuan cantik lagi lansing semasa berselisihan dengan kami. Tiba-tiba hati aku meradang. Itu yang membuatkan aku nekad untuk kurus!

…................................................................................................

Pejam celik pejam celik sudah tiga bulan aku mendapat latihan daripada Zack. Dan apa yang mengembirakan aku, berat badan aku sudah turun 20kg. Pakaian pun dah banyak yang longgar. Orang yang paling ceria melihat aku semakin kurus adalah papa dan mama. Malah papa menghadiahkan banyak pakaian baru. Setiap hari aku melaram dengan hadiah papa.
Zack? Dia orang yang paling banyak kondem aku. Dia cakap aku belum cukup kurus, masih banyak lemak dalam badan aku. Aku kena banyak traning lagi. Dia kata lemak dalam badan aku dah tepu. Sudah susah nak dibakar. Kalau mahu kurus lagi, aku perlu berkerja keras dan rajin.
Kalau dulu kami seperti anjing dan kucing. Tetapi sekarang kami semakin rapat. Malah aku mula rasa selesa dia menjadi trainer aku. Setiap nasihat dan tunjuk ajar daripadanya aku patuh macam burung belatuk. Setiap hari juga aku tidak sabar untuk bertemu dengan Zack. Zack seolah-olah memberi inspirasi bagi aku. Zack juga tidak jemu-jemu memberi dorongan yang jitu kepada aku.
Aku tersenyum sendirian mengenang Zack. Gambar semasa aku gemuk dan sekarang aku letak di tepi. Aku bingkas bangun daripada katil. Perlahan-lahan kakiku menuju ke jendela. Langsir di kuak sedikit dan senyuman aku melebar lagi tatkala mataku betaut dengan Zack yang berada di laman rumah. Dia melambai-lambai ke arah aku. Cepat-cepat aku menghilangkan diri daripada jendela. Hati aku berdebar-debar seperti kuda berlari. Kenapa ni? Aku tak pernah rasa macam ni...
Aku menarik nafas dalam-dalam. Menghilangkan gemuruh. Telapak tangan ku gosok berulang kali. Kenapa sejuk ni? Kenapa jantung aku tak berhenti berdebar kencang? Kenapa wajah Zack tak dapat aku lupa?
Akhirnya aku terbuai lena dengan seribu persoalan yang tak dapat ku ungkaikan.

…...........................................................

“Hari ini kita tak payah berlatih.”
Mata aku tepat memandang ke dalam mata Zack.
“Biar betul? Selalunya saya yang nak mengular. Hari ni awak pula ajak saya mengular.”
“Mengular apa nya? Saya nak ajak awak keluar.”
Aku terdiam seribu bahasa. Air liur ku telan. Kesat!
“Betul ke ni? Nak ke mana?”
Zack tersenyum.
“Awak ikut aje. Jom..”
Kami berdua membolos masuk ke dalam kereta. Tidak lama selepas itu kereta meluntur laju. Sepanjang perjalanan kami diam membisu. Tiba-tiba aku terasa janggal bila berduaan dengan Zack. Padahal selama menjalani latihan, aku dan Zack memang selalu berdua. Kali ini aku terasa sesuatu. Sesuatu yang tak dapat aku tafsirkan. Sepanjang perjalanan hati ku berdebar-debar. Malah Zack juga mendiamkan diri. Membuatkan hati aku bertambah tidak keruan.
“Okay. Jom. Kita dah sampai,” tegur Zack. Entah bila kami sampai pun aku tidak perasan kerana melayan perasan. Tup-tup Zack sudah buka pintu kereta bagi pihak aku. Saat itu aku tersenyum sumbing. Malu pun ada kerana membuatkan Zack perasan aku sedang mengelamun jauh. Cepat-cepat aku bingkas bangun daripada tempat duduk kereta. Kami sama-sama berjalan masuk ke dalam MidValley.
“Kita nak buat apa kat sini? Tak pernah-pernah awak bawa saya keluar. Awak buat saya terkejut.”
“Salahkah ke saya nak bawa trainee saya keluar. Atau awak takut pakwe awak marah?”
“Awak ni perli saya ke apa? Awak pun tahu kan saya ni belum berpunya lagi.”
Aku menunduk kepala ke bawah. Terasa rendah diri sangat. Umur sudah lanjut, kerjaya pun bagus tapi belum berpunya.
“Sebenarnya saya bawa awak keluar ni sebab saya nak meraikan kejayaan awak .”
“Kejayaan apa?” Keningku bersatu.
“Awak kan sudah berjaya turunkan berat badan awak. Awak tahu tak, awak sebenarnya cantik. Tetapi kenapa awak nak sorokkan?”
Aku tersipu-sipu malu apabila Zack memuji diriku. Pipiku merona merah.
“Saya tak cantik lah. Gemuk lagi ni.”
“Gemuk tak semestinya tak cantik. Bagi saya hati yang perlu cantik. Bukan dari segi fizikal.”
Aku terdiam seketika.
“Saya suka bila awak selamatkan kucing hari itu.”
Keningku bersatu lagi. Tiba-tiba memori aku selamatkan kucing kembali terlayar.
….............................................................

“Awak turun lah... Nanti jatuh. Saya juga yang susah.” Zack menjerit semasa aku memanjat pokok rambutan untuk menyelamatkan seekor kucing putih.
Jeritan Zack aku persetankan. Yang penting aku kena selamatkan kucing. Ketika itu aku sudah hampir dengn kucing putih. Perlahan-lahan kepala aku tunduk ke bawah. Mak aii...tinggi juga aku panjat!
“Kenapa Meow panjat pokok? Tu la panjat pandai, turun tak pandai,” bebel ku semasa aku mahu mencapai kucing putih di dahan berhadapan dengan ku.
“Meow jangan takut ye... Jom kita turun ye Meow..” Akhirnya kucing putih dapatku capai. Namun malang tidak berbau. Akibat badan aku yang berat, dahan pokok tidak mampu lagi menampung.Kesudahannya aku jatuh macam nangka busuk. Mujur kucing putih jatuh ke atas badanku. Bayangkan kalau kucing berada bawah badan aku. Alamatnya arwah lah kucing tuh.
Zack pula berdekah-dekah ketawa semasa membantu aku bangun. Hampeh betul. Bukan nak kesian, gelakkan aku pulak. Sepanjang hari itu aku lancarkan perang dingin dengan Zack.
…..................................................................

Ketawa Zack masih tidak hilang semasa aku menceritakan semula kejadian itu. Apalagi, aku mencubit pinggang Zack. Geram!
“Adus... Sakitlah awak.” Spontan Zack memegang tanganku. Aku terkaku seketika. Ketawanya juga terus berhenti.
“Kita pergi makan ye. Awak makan lah apa awak nak. Saya belanja,” ujar Zack setelah lama kami mendiamkan diri. Namun pegangan tangan kami masih bertaut. Kami berjalan beriringan mencari tempat makan. Sepanjang perjalanan aku hanya mendiamkan diri. Yang pastinya hari itu aku berasa bahagia sangat. Seolah-olah dilamun cinta.

…............................................................

Sejak dari itu, kami semakin rapat. Ke mana sahaja pasti berdua. Seakan tidak boleh berenggang. Diam tak diam sudah enam bulan aku menjalani latihan dengan Zack. Malah matlamat aku juga sudah tercapai. Daripada saiz XXL sudah bertukar kepada saiz S. Malah aku berasa makin sihat. Penyakit semput pun sudah hilang. Pendek kata setiap hari aku mesti bersenam demi kesihatan. Wajahku pun semakin hari ceria dan awet muda. Bukan kerana aku sudah kurus tetapi kerana kehadiran Zack. Zack membuatkan aku bahagia. Kini baruku faham perasaan orang bercinta. Sayang dan rindu datang silih berganti menjadi diari hidup aku.
Tetapi di satu malam, kebahagianku diragut tiba-tiba. Angan-anganku musnah dalam sekelip mata. Rupanya aku hanya bermimpi di siang hari. Cinta yang aku rasa bertepuk dua belah tangan, rupanya hanya sebelah tangan.
“Malam ini malam terakhir Zack akan bersama dengan kita sekeluarga,” ucapan Papa semasa makan malam sekeluarga, membuatkan aku terkedu.
“Kenapa Pa?” Aku memberanikan diri bertanya. Aku perasan Zack tajam merenung ke arah aku.
“Servis Zack sudah tamat. Lagi pun Scha sudah tidak perlukan bimbingan daripada Zack.”
Aku menunduk. Ada benarnya cakap papa. Dulu papa ada beritahu aku, Zack akan jadi trainer aku selama enam bulan sahaja. Kala itu hatiku dirundung sayu. Wajah papa, mama dan Zack, tak mampu aku pandang kerana kolam air mataku seakan mahu pecah.
“Lagipun, Zack nak buat persiapan majlis perkahwinannya nanti.”
Dup! Jantungku seakan terhenti seketika. Kata-kata Papa sebentar tadi seperti halilintar menerjah telingaku.
“Zack nak kahwin? Dengan siapa?” Soalan itu terlontar laju daripada mulutku.
“Dengan awek dia la. Takkan dengan Scha?” balas Mama membuatkan kolam airmataku terus pecah. Tidak sanggup menerima apa-apa lagi, aku bingkas bangun. Berlari, meninggalkan meja makan. Aku mengurungkan diri dalam bilik. Di situ aku melepaskan tangisanku sepuas-puasnya.
….....................................................................

Sudah sebulan aku seperti orang hilang akal. Setiap malam meracau teringatkan Zack. Airmata juga tidak pernah kering. Malah semakin hari berat badanku makin susut dan tidak terurus. Kini saiz berat badanku bukan lagi S tapi XS. Dah macam zombie kampung pisang. Mana tidaknya, selera makanku lansung tiada. Dulu kalau aku stress, aku akan makan sepuas hati. Tapi kini, selera makanku hilang. Tengok makanan pun nak muntah. Adakalanya seharian aku tidak menjamah makanan. Aku sengaja sibukkan diri dengan kerja-kerja aku di pejabat untuk membuang Zack daripada ingatanku. Namun segala usahaku tetap gagal. Malah semakin hari bayang Zack kuat melekat dalam memoriku.
Aku merenung ke kalendar yang terletak di atas meja tulis. Sayu hatiku merenung kalendar tersebut. Lagi seminggu Zack akan berkahwin dengan wanita pilihan hatinya. Serta merta airmataku tumpah lagi. Sudah berkotak-kotak tisu dibazirkan dengan airmataku.
Terbayang-bayang Zack dengan bakal isterinya dalam gaun perkahwinan. Mesti gempak majlis mereka. Dihiasi ala-ala moden tradisi. Bertemakan merah putih. Itu adalah sebuah impian perkahwinanku,
Aku mengetap bibir. Sayangnya bukan aku pengantin perempuan itu.
Aku menangis lagi. Namun tangisan ku terhenti apabila pintu bilik diketuk. Cepat-cepat aku menyeka sisa airmata yang mengalir. Kemudian aku menarik nafas dalam-dalam sebelum melangkah lambat-lambat membuka pintu.
Pintu dikuak sedikit. Bayang Zack memenuhi ruang penglihatanku. Ku tutup pintu semula.
Dia ke? Hatiku penasaran. Aku bermimpi atau itu benar-benar dia? Pintu dibuka semula. Kali ini lebih luas.
“Kenapa awak tutup pintu? Awak tak suka saya datang?”
Aku diam terkaku di hadapan Zack. Memang benar Zack kini berada di hadapanku setelah sebulan kami tidak berjumpa. Tetapi kenapa baru sekarang dia berjumpa dengan aku? Untuk sakitkan hati aku lagi?
“Boleh saya masuk?”
Aku menggeleng kepala. Tak berdaya untuk bersuara apa-apa.
“Baiklah. Saya singgah sekejap sahaja pun. Saya cuma nak bagi kad kahwin dan hadiah untuk awak.”
Aku angkat kepala, merenung tepat ke dalam mata Zack. Mencari apa sebenarnya yang Zack hendak sampaikan. Berdesing telingaku mendengar dia sekadar mahu memberi kad perkahwinannya. Terasa seperti hatiku disiat-siat. Namun pandangan mata kami tidak lama bertaut. Zack mengulurkan sampul berwarna putih dan sekotak hadiah yang agak besar. Lambat-lambat aku mencapainya.
“Saya pergi dulu. Saya perlukan jawapan awak segera.”
Zack hilang daripada pandangan mata. Aku pejam mata rapat-rapat. Airmataku mengalir lagi. Kali ini aku terduduk di atas lantai dengan kad dan hadiah yang masih dalam gengaman. Jawapan apa yang awak mahukan Zack?

…......................................................................................
Esok akan berlansungnya majlis perkahwinan Zack. Dan aku masih terperap dalam bilik. Tetapi yang menghairankan aku, mama dan papa pula yang sibuk. Kata mama malam ini ada majlis di rumahku. Majlis apapun aku tidak aku ambil peduli. Sejujurnya, sebulan lebih ini aku memang tidak mengambil tahu apa yang berlaku dalam keluarga aku. Apa yang aku pentingkan adalah kesedihan yang aku alami.
Aku mendekati jendela. Pandangan mataku berpusat di luar rumah. Bunyi kecoh di luar rumah membuatkan aku tertarik untuk melihat apa yang berlaku.
“Kenapa ada khemah ni? Ada majlis apa malam ni?” Aku mengaru-garu kepala yang tidak gatal. Kemudian aku kembali terbaring ke atas kamar. Agak lama aku berteleku di atas katil. Memikirkan majlis apa malam ini.
“Sayang? Tidur lagi ke? Cepatlah bersiap. Pergi mandi.” Mama meluru masuk ke dalam bilik membuatkan aku bingkas bangun. Terkejut dengan kehadiran mama dan sepupu, Tom ( lelaki tapi lembut ).
“Aah la Scha. Kenapa tak mandi lagi? Kejap lagi aku nak make-up kau.” Tom mencekak pinggang di hadapanku. Serta merta dahi ku berkerut berlapis-lapis.
“Make up? Untuk apa? Majlis apa sampai aku nak kena make up bagai ni,” soalku.
Tom cuba menjawab soalanku, tetapi mama mencelah.
“Ikut sajalah. Jangan banyak celoteh.” Mama membulatkan mata ke arah Tom. “Cepat siapkan Scha. Orang dah ramai datang. Mak Ngah turun ke bawah dulu.”
Mama terus beredar meninggalkan aku dan Tom. Aku baring semula di atas katil.
“Scha.. Bangun! Pergi mandi.” Tom menarik lenganku. Mahu tak mahu aku terpaksa menurut. Perlahan-lahan aku menuju ke kamar mandi.
Selepas 30minit baru aku keluar dari kamar mandi. Sengaja aku buat Tom tunggu lama-lama.
“Cantik kan baju ni? Pandai dia pilih,” puji Tom sambil membelek baju kurung moden di atas katil.
Aku antara dengar dan tidak. Sengaja aku persetankan Tom. Entah apa yang cantik pun aku tak tahu.
Almari bajuku selak. Tiba-tiba mata aku terpaku pada hadiah pemberian daripada Zack tempoh hari. Entah kenapa baru hari ini aku terasa mahu membuka hadiah tersebut. Hadiah yang berbalut kertas berwarna pink menarik perhatianku lalu ku bawa ke atas katil.
“Amboi.. saper bagi hadiah?Besarnya.. Cepatlah buka.” Tom pula yang lebih teruja daripada aku.
“Sabarlah. Nak bukalah ni.” Dengan masih berkemban aku mengoyak bungkusan tersebut. Penutup kotak hadiah aku buka lalu aku keluarkan isinya.
“Gaun putih?” mulutku terlopong akibat terkejut. Gaun pengantin ku angkat dan ku belek.
Apa motif Zack bagi gaun pengantin? Dia salah bagi ke?
“Cantiknya... Cuba kau pakai baju tu? Muat tak? Klass la pilihan dia, Scha,” puji Tom lagi.
Kali ini aku berlari ke meja solek. Aku membuka laci lalu aku mengeledah, mencari sampul putih. Peluh mula membasahi dahi.
Sampul putih aku jumpa. Cepat-cepat aku melihat isi dalam. Sekeping kad merah memenuhi pandangan ku kini. Ayat di hadapan kad merah aku baca perlahan.
Jemputan perkahwinan Zack dan …....... Aku menarik nfas dalam-dalam. Scha???!!!
Kad merah aku buka. Isi kandungan kad merah aku baca berkali-kali. Tidak lama selepas itu, telefonku berdering. Cepat-cepat aku menjawab panggilan tersebut.
“Hello..”
“Hello.. Kenapa awak mendiamkan diri? Saya mahu jawapan daripada awak.” Suara Zack kedengaran sayu. Tersentuh hatiku kala itu.
Aku diam seketika. Otakku seakan tidak boleh mentafsir apa yang berlaku sekarang.
“Scha....” seru Zack.
“Saya harap saya belum terlambat. Saya setuju dengan lamaran awak.”
“Terima kasih awak.” Kedengaran Zack ketawa girang. “Saya fikir majlis kita akan batal esok. Saya sedih sangat sebab awak mengambil masa yang lama untuk beri jawapan. Saya hampir putus asa. Mujur papa dan mama awak tetap mahu teruskan majlis kita.”
“Maafkan saya.. Kenapa awak tak lamar saya depan-depan? Buat saya bersedih sampai sebulan lebih? Sebenarnya kad dan hadiah yang awak beri hari tuh, baru hari ini saya buka.”
“Maafkan saya juga. Ini semua idea papa awak. Dan sebenarnya saya yang offer kepada papa awak untuk jadi trainer awak. Dengan cara itu saya dapat mengenali awak dengan lebih dekat..”
“Ooo... jadi ini semua idea papa ye? Kenapa awak turut saja?”
“Dia kan bakal bapa mertua saya.” Kami sama-sama ketawa girang.
“Saya ingat awak main-mainkan cinta saya.”
“Tidak Scha. Saya ikhlas dengan awak. Saya mula jatuh hati dengan awak dah lama.”
“Dah lama?” Aku kehairanan. Selama ini aku tak pernah kenal dengan lelaki bernama Zack.
“Kawan awak... Malika. Dia kakak saya. Dia selalu cerita tentang awak kepada saya.”
“Kak ika? Oh... Tidak. Jadi awaklah orang yang dia nak kenen-kenenkan tu?”
Kami pecah ketawa lagi
“Dah awak jual mahal sangat. Jadi saya menyamar la jadi trainer awak.”
Kami diam seketika. Aku masih terkejut dengan kenyataan yang dijelaskan oleh Zack. Sungguh! Aku tak percaya.
“Macam mana awak boleh jatuh hati dengan orang yang gemuk macam saya?” Aku penasaran.
“Sebab saya jatuh hati dengan sikap awak.. budi pekerti awak. Sejak awak jadi pengasuh kepada anak Kak Malika, saya percaya awaklah orang yang saya cari.”
Aku tersenyum lagi. Teringat lagi setahun yang lepas aku menjadi pengasuh a.k.a bidan terjun kepada anak perempuan Kak Ika. Semuanya gara-gara pengasuh Kak Ika berhenti tiba-tiba.
“Scha.. saya cintakan awak gemuk-gemuk tau!”
“Gemuk-gemuk?”
“Yup.. Sebab cinta saya pada awak memang besar. Besar samalah juga macam gemuk.”
Aku tersenyum. “Saya pun cintakan awak gemuk-gemuk juga.”
Talian diputuskan dan aku masih lagi tersenyum sendirian sehinggalah Tom berdehem kecil.
“Sudahlah tu.. Jom saya make up awak cantik-cantik. Hari ini kan malam berinai awak.”
Hari itu menjadi hari bahagia aku. Malam berinai berjalan dengan meriah sekali. Patutlah mama dan papa sibuk kebelakangan ini. Rupanya menguruskan hal perkahwinan aku.
Menyesal juga dulu tidak baca awal-awal kad perkahwinan tersebut, Ego punya pasal aku campak saja kad tersebut dalam laci meja solek. Hadiah Zack pun tidak aku usik. Melayan perasaan sangat. Tapi nasib baik aku belum terlambat. Sempat juga aku memberi jawapan setuju kepada Zack. Aku cintakan Zack gemuk-gemuk!!!

Wednesday, September 21, 2011

Bab 16 | Novel Suri Hati Kefli


Dia melemparkan pandangan ke luar tingkap yang sedari tadi terbuka. Angin sepoi-sepoi bahasa merombos masuk, menampar-nampar mukanya yang putih bersih. Pemandangan pagi yang hening menyentuh kalbu. Tiba-tiba pipinya terasa hangat dengan titis manik air mata. Lambat-lambat dia menyeka. Kala ini dia tenggelam dalam lautan perasaan yang kacau bilau dengan deru ombak yang menghempas badai pantai hatinya kini.
Wajah Kefli dan Qistina datang menyapa kotak fikirannya berulang kali. Peristiwa di butik pengantin kelmarin seakan terimbas semula. Diulang tayang berkali-kali. Saat Kefli tersarung dalam baju melayu membuatkan jantungnya seakan terentap. Dia tidak sanggup melihat saat itu kerana dia tahu hatinya tidak kuat menerima berita Kefli bakal bertunang dengan Qistina. Kenapa Kefli mendiamkan hal itu daripada pengetahuannya? Soalan itu acapkali disuarakan dalam hati sendirian.
“Awak... dah bangun? Macam mana hari ini?” Suara Alan menyentak lamunannya. Serta merta dia menoleh, melihat Alan yang muncul bersama sejambak bunga ros putih.
“Ini bunga untuk awak. Semoga awak cepat sembuh.” Alan menghulurkan bunga tersebut. Surihani menyambut lantas mencium kesegaran bunga kegemarannya.
“Terima kasih,” ujar Surihani. “Macam mana awak tahu saya masuk wad?”
“Pagi tadi saya tanya Kif. Dia bagitahu awak masuk wad.” Alan tersenyum. Hatinya senang dapat melihat Surihani kini. Semalam, semalaman dia kegelisahan memikirkan Surihani.
“Saya tak ada apa-apa. Doktor cakap saya kurang darah merah. Kena masuk darah kejap lagi,” tenang Surihani menjelaskan kepada Alan. “Mana En Kefli?”
“Kejap lagi dia sampai.” Alan mengambil tempat di sebelah katil Surihani lalu merenung wajah Surihani dalam-dalam. “Mama saya kirim salam. Dia doakan awak cepat sembuh.”
Surihani tersenyum kemudian dia cuba mencapai gelas di meja kecil sebelah katilnya.
“Awak nak air? Saya tuangkan,” ujar Alan lalu cepat-cepat mengambil gelas dan diisikan air putih.
“Terima kasih awak.” Gelas bertukar tangan. Saat itu Kefli muncul bersama dengan Firas. Kefli terkaku di muka pintu melihat kemesraan di antara Alan dan isterinya. Tiba-tiba hatinya membengkak. Namun ditahan rasa itu kerana hormatkan Alan sebagai sahabat baiknya.
“Eh, Kif! Bila ko sampai?” ujar Alan tatkala perasan kehadiran Kefli. Kefli sekadar membalas dengan senyuman .
Firas berlari-lari mendapatkan kakaknya. Wajahnya ceria lalu dipeluk tubuh Surihani. “Kakak.. Bila nak balik?”
Surihani mengusap pipi Firas. “Kalau doktor cakap kakak boleh balik, kakak baliklah. Kenapa? Fias rindu kakak ye?”
Firas mengangguk mengiakan kata-kata Surihani.
“Alan, inilah adik saya. Awak belum kenal lagi kan?” ujar Surihani seraya menyuruh Firas menyalami Alan.
“Uncle Alan. Firas sudah makan?”
Firas tersenyum. “ Fias dah makan dengan abang.”
Alan megerut dahi. Nampaknya, rapat benar adik Suri dengan Kefli. Mereka ini sudah kenal lama kah? Kenapa aku aje yang ketinggalan?
“Aaa.... korang sembang lah dulu. Aku nak ambil angin di luar.” Kefli mengundurkan diri. Makin lama dia di situ, makin sakit hati dibuatnya. Dia cemburu melihat keprihatinan Alan ke atas isterinya. Nak minum pun suruh orang ambik kan. Bukan tangan tu yang patah. Grrr.......
Hampir 15minit dia berkhayal di luar sebelum dia masuk semula ke dalam wad. Dicari-cari kelibat Alan. Namun, yang tinggal dalam bilik tersebut hanyalah Firas dan isterinya.
“Abang pergi mana?” soal Firas sebaik sahaja Kefli membolos masuk ke dalam wad.
“Abang kat luar tadi.. Abang tadi mana?” Kefli mengajukan soalan kepada Firas setelah melihat Surihani memaling muka ke arah lain.
“Dah balik. Dia cari abang tadi.”
Kefli mengangguk. Perlahan-lahan dia mendekati Surihani. Firas pula mengambil tempat Alan sebentar tadi.
“Suri...”
Surihani masih enggan memandang Kefli. Sengaja dia membelakangkan suaminya. Hatinya masih sakit dan sebal dengan berita pertunangan suaminya.
“Suri. Pusinglah sini.” Kefli menyentuh bahu Surihani lalu menarik tubuh itu supaya mengadapnya. Mahu tak mahu, Surihani mengalah juga. Wajahnya masam mencuka.
“Maafkan abang. Bukan niat abang tak nak beritahu sayang tentang hal ini. Cuma abang cari masa yang sesuai. Abang harap sayang maafkan abang. Abang tak tahu nak jelaskan macam mana pada Suri. Ini semua kehendak keluarga abang. Abang tak tahu nak menolak macam mana.” Kefli mengambil nafas seketika.
“Abang tahu, mesti Suri akan pertikaikan kenapa abang ikutkan saja perancangan keluarga abang kan? Maafkan abang. Abang tersepit. Semasa mula-mula abang jumpa Suri, keluarga abang dah merancang awal-awal pertunangan kami tanpa pengetahuan abang. Sehinggalah kita berkahwin, abang dapat tahu keluarga abang pergi merisik Qistina. Abang tak tahu nak buat apa untuk perbetulkan keadaan ini Suri.”
“Sudahlah abang. Suri nak rehat.” Surihani membalikkan tubuhnya semula. Ada airmata bertakung.
“Maafkan abang, Suri,” ujar Kefli. Dia melepaskan keluhan. “Abang pulang dulu. Firas.. jom.”
Kefli meninggalkan Surihani sendirian. Dia faham isterinya enggan berbincang dengannya. Kini, dia kesal kerana tidak membincangkan hal itu dengan isterinya awal-awal. Dia nekad, suatu hari nanti dia akan berterus terang dengan keluarganya bahawa dia sudah berkahwin.
“Kif..” Tegur Alan semasa di parkir kereta.
“Eh, aku ingat ko dah balik tadi,” ujar Kefli sedikit terkejut.
“Aku perasan kereta ko kat sini. Tu pasal aku tunggu ko. Aku ada hal nak cakap dengan ko.” Wajah Alan beriak serius.
“Hal apa? Kalau macam tuh, jom lah kita pergi minum.”
“Tak payahlah. Aku nak mintak pandangan ko aje. Lagipun lepas ini, aku nak balik ke restoran kita semula.”
“Okay.. Hal apa yang ko nak tanya pendapat aku,” soal Kefli sambil membuka pintu kereta. Lalu Firas menempatkan diri di dalam kereta.
“Aku nak tanya ko.. Suri tuh dah ada yang special ke? Mama aku dah berkenan dengan dia. Mama aku cakap, tak elok tunggu lama-lama. Lagipun aku memang dah jatuh hati dengan dia.”
Pengakuan berani daripada Alan membuatkan jantung Kefli seakan terhenti seketika. Ditelan air liur berkali-kali. Otaknya seakan terbejat untuk memproses kata-kata Alan.
“Kif... Ko okay ke ni?” Alan kehairanan kerana Kefli terkejut dengan pengakuannya.
“Aku okay. Ko betul ke ni?” Kefli inginkan kepastian.
“Aku betullah ni. Sebab tu aku tanya Suri dah berpunya ke belum? Kalau single, aku nak mama aku pergi merisik dia.”
Kali ini jantung berdegup laju. Berderau darah tatkala mendengar kesungguhan Alan.
“Ko tanyalah dia sendiri.” Mendatar nada suara Kefli. “Aku blah dulu.” Pantas Kefli membolos masuk ke dalam kereta meninggalkan Alan terpinga-pinga. Pedal minyak kereta ditekan habis. Tidak peduli dengan had laju dalam kawasan hospital. Hatinya benar-benar bengkak dengan pengakuan eksklusif daripada sahabat baiknya. Dia benar-benar tertekan.

Monday, September 5, 2011

Bab 15 | Novel Suri Hati Kefli


“Kif, U rasa warna untuk tema pertunangan kita?” soal Qistina sambil membelek-belek album baju di Butik Aleesya. Keadaan ketika itu dalam butik lengang. Cuma mereka berdua sahaja pelanggan petang itu.
“Sayang....” tegur Qistina setelah tiada reaksi daripada Kefli. Kefli yang membatu sedari tadi tersentak tatkala ada jari ketam menyengat pehanya. Lantas pehanya yang perit digosok.
“Sakit lah Qis.”
“I tanya U tak jawab. Padan lah muka kena cubit dengan I,” jawab Qistina. Bibir digigit geram. “I tanya warna apa U nak pilih untuk baju pertunangan kita nanti?”
“Apa-apa aje lah Qis. I ni tak memilih. Apa yang U suka, I ikut aje.” Mendatar nada suara Kefli. Matanya sengaja dipusatkan ke luar Butik Aleesya. Enggan melihat apa yang menarik perhatian Qistina tika itu.
“U.. Tengok la sini. Baju ni cantik tak?” Qistina menarik badan Kefli mengadapnya. Dress berwarna ungu yang sarat berlabuci ditayang di hadapan Kefli.
“Cantik. U pilih aje. I okay aje.” Riak wajah Kefli seperti tidak berminat. Dalam mindanya dia sedang teringatkan Surihani. Tiba-tiba rasa rindu menjengah dalam hati.
“I pergi cuba dulu. U tunggu kejap.” Qistina terus menonong bersama pembantu kedai pergi ke bilik persalinan.
Kefli melepaskan keluhan. Dia benar-benar terasa terhimpit dengan perancangan keluarganya. Mahu ditolak, dia tidak kesampaian melihat Qistina terlalu gembira dengan perancangan untuk mereka disatukan. Dalam masa yang sama dia rasa bersalah terhadap Surihani. Dia mengaup muka berkali-kali bagi menghilangkan kegusaran dalam hati.
“Sayang.. Cantik tak?” Serta merta Kefli menghalakan pandangan ke arah Qistina. Tiba-tiba dia mengerdip matanya berulang kali. Dia seperti melihat Surihani yang berada di hadapannya kini. Sungguh cantik umpama bidadari, getus hatinya. Matanya terus terarah melihat Surihani walhal tubuh sebenar adalah Qistina. Akibat terlalu teringatkan Surihani, wajah Qistina berubah menjadi Surihani pada pandangan Kefli sekarang.
“Amboi.. Renung tak berkelip,” tegur Ciki selaku pembantu kedai sambil tersenyum-senyum.
Kefli tersentak lantas bayangan Surihani ghaib. Qistina pula tersenyum malu dengan teguran Ciki.
“Kalau macam ni, I pilih baju ni aje la Ciki.” Qistina membuat pilihan. “I tengok bakal tunang I dah suka dengan baju nih.”
Kefli tersenyum kambing. Dia menelan air liur. “Ok. I setuju aje.”
“Kalau macam tu, U pula yang pergi cuba baju U.”
“Betul. I ada baju yang begitu sesuai untuk bakal tunang U yang hensem ni,” ujar Ciki a.k.a mamat lembut. Sememang golongan lembut mendominasi bidang pengantin. Tidak di nafikan khidmat yang diberi memang memuaskan hati.
Kefli hanya mengangguk setuju. Lagi cepat dia cuba baju lagi cepat dia boleh pulang. Dia mula berasa rimas berada di situ.
“Okay. U tunggu kejap. I pergi ambik kan baju untuk U,” ujar Ciki lalu meghilangkan diri mengambil baju yang di maksudkan.
“Betul U suka dengan baju yang I pilih ni? I bukan apa. I nak kelihatan cantik di hari bahagia kita nanti. I nak semua orang tahu bakal tunang U ni cantik.”
“U dah memang cantik. Pakai apa pun dah cantik Qis.”
“Mesti U bangga I jadi tunang U nanti. Tak sabarnya.” Qistina tersenyum-senyum lagi. Rasa berbunga bila Kefli memujinya cantik.
“Handsome boy. Ini baju U. Cuba U pergi cuba. Muat tak?” Ciki menghulurkan sepasang baju melayu berwarna sedondon dengan baju Qistina kepada kepada Kefli. Kefli mencapainya seraya bangun lalu menoleh pandangan ke luar butik. Tatkala itu matanya terpaku memerhati kelibat Surihani dan Alan yang kebetulan melintasi di hadapan Butik Aleesya. Cepat-cepat dia menerpa ke pintu untuk melihat sekali lagi bagi mensahihkan apa yang dipandangnya tadi.
“Alan! Suri!” jerit Kefli kerana ketika itu Surihani dan Alan sudah menjauh daripada Butik Aleesya.
Kedua-duanya serentak menoleh mencari gerangan yang memanggil nama mereka. Kelihatan Kefli memenuhi ruang penglihatan mereka berdua.
“Korang buat apa?” soal Kefli. Jelas sekali wajahnya kelihatan kebingungan meliahat mereka berdua.
“Kitorang jalan-jalan sebelum masuk panggung,” jawab Alan lalu mendekati Alan yang berdiri di hadapan butik. Surihani mengatur langkah perlahan-lahan. Hatinya berdebar kencang kerana terserempak dengan suaminya di situ.
“Eh, U all pun ada?” celah Qistina. Dia berdiri di sebelah Kefli. “Masuk lah. Kitorang tengah pilih baju.”
“Boleh juga. Baju apa yang korang pilih ni?” soal Alan. Dia dan Qistina terus masuk ke dalam butik meninggalkan Kefli dan Surihani di luar butik.
“Suri buat apa dekat sini?” soal Kefli tidak berpuas hati. Hatinya tercuit cemburu melihat Surihani keluar berdua dengan Alan.
“Abang buat apa pula di sini? Di butik baju pengantin?” soal Surihani kembali. Dia juga pelik kerana terserempak dengan suaminya di butik pengantin.
Belum sempat Kefli menjawab, Alan mencelah. “Kenapa korang tak masuk lagi? Qis kata ko nak try baju. Cepat lah. Aku nak tengok ni.”
Kefli tersenyum sumbing. “Ye, aku masuk.”
Surihani turut sama masuk ke dalam butik setelah Kefli membolos masuk. Dia mengambil tempat duduk di sebelah Alan. Sekarang ini dia dapat merasa butik tersebut panas walaupun sudah terpasang penghawa dingin. Dia tidak betah berada di situ lama-lama. Hatinya makin sakit melihat gelagat Qistina terhadap suaminya.
“Alan, jom lah kita pergi tempat lain. Jangan ganggu mereka,” usul Qistina setelah Kefli hilang ke dalam bilik persalinan.
“Okay. Awak nak pergi mana?”
“Kita pergi makan. Saya lapar lah.”
“Alah korang ni.Tunggu lah kejap. Kita pergi makan sama-sama. I pun lapar juga nih,” celah Qistina.
“Bagus juga cadangan tuh. Kita tunggu kejap ye Suri. Lagipun saya nak tengok Kif pakai baju melayu tadi tuh.”
Surihani diam. Dalam hatinya kian membengkak. Mahu tak mahu dia mengangguk kepala tanda setuju. Dia cuba mengukirkan senyuman namun tetap terasa hambar.
Tidak lama selepas itu Kefli muncul segak dengan baju melayu berserta sampin.
“Wow sayang.. Sangat sempurna. Hensem giler.” Qistina menjerit lalu mendekati Kefli. Wajah Kefli ketika itu lansung tidak boleh senyum tatkala melihat Surihani memaling muka daripada melihatnya. Tiba-tiba hatinya dipagut sayu.
Setelah selesai menukar pakaian, Kefli cepat-cepat mengajak Qistina pulang.
“Alah sayang. Kejap lah. Alan ajak makan sama-sama dengan dia dan Suri. Jom lah sayang.”
Kefli terdiam. “I kata I nak balik. U nak makan dengan diorang U join lah. U balik dengan Alan.”
Alan dan Surihani hanya memerhati sikap Kefli yang berubah menjadi tidak ceria tiba-tiba. Dalam masa yang sama Alan hanya menjungkit bahu tatkala Qistina seolah memintanya untuk memujuk Kefli. Surihani sama sekali mendiamkan diri.
“Okay lah Alan, Suri. Lain kali kita makan sama-sama lah. Nampaknya bakal tunang I ni dah merajuk. Kitorang balik dulu,” ujar Qistina. “Bye Suri. Jumpa lagi lain kali.”
Qistina menyalami dan mencium pipi Surihani. Surihani melukiskan senyuman. Namun hambar sekali.
Tunang? Hati Surihani tika itu seperti disiat-siat. Dia cuba menahan sebak dalam hati. Air mata mula bertakung di tubir mata. Kenapa Abang tak bagitahu Suri yang abang nak kahwin lain? Hatinya benar-benar terentap.
“Jom Suri. Kita pergi. Kesian U. Kenapa tak bagitahu awal-awal yang awak lapar.”
Surihani hanya mendiamkan diri. Tidak menyahut soalan Alan. Kala itu, segalanya nampak pusing. Dia benar-benar terkejut dengan berita suaminya akan bertunang. Akhirnya dunianya gelap gelita.
….............................................................................

“Awak ok?” Suara Alan yang pertama mengetuk gegendang telinganya. Matanya meliar sekitar sudut sambil tangannya memicit kepala. Dia masih terasa pening namun digagahi bangun daripada pembaringan.
“Awak jangan bangun. Rehat dulu. Awak di rumah saya. Tadi saya bawa awak ke klinik. Mujur doktor cakap awak tak apa-apa.,” bantah Alan lalu cuba membuatkan Surihani baring semula.
“Saya kenapa?”
“Awak pengsan masa di butik. Jangan risau. Awak tak apa-apa,” terang Alan. Dia bangun mengambil air suam di meja sebelah katil. Dihulur kepada Surihani. Namun Surihani menolak. Tekaknya kelat untuk menerima apa-apa.
“Saya dekat mana? Dah pukul berapa?” soal Surihani. Hatinya mula tercuit gelisah.
“Awak di rumah saya. Sekarang sudah jam 10 malam. Lama juga awak tak sedarkan diri.”
“Apa? Jam 10 malam? Kenapa awak tak hantar saya pulang saja?” Surihani melompat bangun dari katil. Dia sudah seperti cacing kepanasan. Bayang Keflidan Firas mula menjengah ruang kepala.
“Awak bertenang. Bukan saya tak nak hantar.Tapi saya risau awak sorang-sorang di rumah nanti. Jadi saya terus lah bawa awak ke sini. Lagipun bukan saya seorang dalam rumah ni. Mama saya ada di bawah sedang siapkan bubur untuk awak.” Alan cuba menenangkan Surihani yang sudah gelabah mengelilingi katil.
“Handphone saya mana awak?”soal Surihani.
“Ada dalam beg tangan awak. Saya simpan dalam tuh,” ujar Alan lalu menunjukkan beg tangannya yang terletak di hujung katil.
Cepat-cepat Surihani mencapai beg lalu digeledah isi perut beg. Telefon bimbit diperiksa. Alamak! Seratus panggilan tak berjawab daripada Kefli. Dia mengaru-garukan kepala yang tidak gatal.
“Kenapa awak?” Soalan Alan dibiar tergantung. Surihani tiada hati untuk menjawab sebarang soalan daripada Alan. Fikiran lebih berpusat kepada Kefli. Hatinya kegelisahan. Takut kalau-kalau Kefli marah kerana sampai sekarang belum pulang.
“Eh, kawan Alan dah bangun. Siapa nama? Mama lupa lah,” ujar Puan Intan semasa membolos masuk ke dalam bilik. Sepantas kilat Surihani dan Alan memandang Puan Intan yang sedang membawa dulang berisi makanan.
“Suri namanya mama,” balas Alan. “Thanks Mama bawakan makanan ke atas.” Alan menyambut dulang makanan daripada Puan Intan. Surihani hanya membalas senyuman kepada Puan Intan.
“Maaf mak cik. Suri perlu pulang. Dah lewat sangat ni. Lagipun tak manis Suri berada di sini,” pinta Surihani seraya bangun sambil menjinjit beg tangan. Namun segera ditahan oleh Puan Intan.
“Suri nak pulang malam-malam macam ni? Lagi tak manis anak dara pulang malam-malam macam ni. Tidur saja di rumah mak cik. Lagipun mak cik ada. Kejap lagi pak cik balik dari pejabat. Suri bermalam aje di sini ye,” larang Puan Intan.
“Tapi makcik..” Belum sempat Surihani menghabiskan ayatnya, Alan mencelah.
“Betul cakap mama saya Suri. Bermalam saja di sini.”
“Terima kasih makcik, Alan. Saya faham niat baik makcik dan Alan.Tapi adik saya sorang-sorang di rumah. Lagi bahaya.” Wajah Firas mula memenuhi ruang penglihatannya kini. Hatinya mulai keresahan. Entah Kefli ambil atau tidak Firas di taska.
“Ye tak ye juga,” sokong Alan. “Kalau macam tuh, saya hantar awak balik.”
Surihani bingkas menuju ke muka pintu diiringi Puan Intan dan Alan. Cepat-cepat dia mengatur langkah. Hatinya benar-benar risaukan Firas. Perihal Kefli terus lenyap dari kotak fikirannya.
Tidak sampai 20 minit, mereka tiba di hadapan rumah Surihani.
“Awak, kalau ada apa-apa bagitahu saya,” pesan Alan sebelum Surihani masuk ke dalam laman rumah. Surihani sekadar mengangguk. Melihat kereta Kefli tiada di laman rumah membuatkan hatinya bertambah resah.
“Awak, jangan lupa call saya kalau ada apa-apa. Saya risau lah,” ujar Alan sekali lagi. Sekali lagi Surihani sekadar mengangguk kepala. Pesanan Alan sekadar masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Cepat-cepat dia membolos masuk ke dalam rumah meninggalkan Alan yang masih terpacak di luar rumah.
Suis lampu rumah dipetik. Cahaya lampu menerangi segenap sudut. Tanpa membuang masa dia mencari kelibat Firas. Namun hampa. Firas tiada. Kefli juga tiada. Mahu telefon Kefli, hatinya menjulang tinggi ego daripada menelefon Kefli untuk bertanyakan Firas. Akhirnya dia terduduk di sofa dengan amukan perasaan yang bercampur baur. Suhu badannya mula membahang mebuatkannya sekali lagi tidak sedarkan diri.
Hanya selepas setengah jam berlalu Kefli mucul bersama Firas. Rupanya mereka berdua baru pulang daripada keluar makan. Melihat Surihani terlena di sofa, membuatkan hati lelaki Kefli tersentuh. Dibuang perasaan marah terhadap Surihani kerana Suihani keluar berdua dengan Alan. Diturunkan ego bila melihat Surihani lansung tidak tersedar semasa mereka pulang.
“Kakak..” Firas cuba mengejutkan Surihani. Namun Surihani masih tidak sedarkan diri. Lantas Firas menyentuh tangan Surihani dengan niat mahu mengejutkan kakaknya yang di sangkakan tidur.
“Abang.. Tangan kakak panas sangat. Kakak demam.” Kenyataan daripada Firas membuatkan Kefli tersentak lalu segera mendapatkan Surihani. Disentuh dahi isterinya. Memang benar, Surihani demam.
“Sayang... Sayang.. Bangun sayang.” Surihani masih tidak sedarkan diri. Segera Kefli mencempung Surihani lalu menuju ke luar. “Kita pergi hospital Firas. Ambilkan kunci kereta atas meja.”
Sepantas kilat Firas mencapai kunci di atas meja lalu berlari mendapatkan Kefli yang sudah berada di pintu kereta.
“Firas buka pintu belakang,” arah Kefli. Cepat-cepat Firas membuka pintu dan Kefli meletakkan Surihani di kerusi belakang. “Firas duduk belakang dengan kakak. Jaga kakak ok.”
Firas mengangguk tanda faham. Tidak lama selepas itu, kereta Kefli meluncur laju membelah kepekatan malam. Dalam hatinya, tak henti-henti mendoakan isterinya agar tidak berlaku apa-apa. Rasa bersalah mulai terbit dalam hati. Dia tahu, Surihani pasti masih lagi terkejut dengan perjumpaan mereka petang tadi di butik pengantin. Mesti isterinya sekarang terlalu tertekan hingga kesihatan isterinya terganggu gara-gara hal petang tadi. Dia mula mengutuk dirinya dalam hati. Perasaan kesal membunuh dirinya kala ini.

Thursday, September 1, 2011

Bab 14 | Novel Suri Hati Kefli


“Lama kau tak menjenguk mak dan ayah. Mana kau menghilang Kif? Qistina ada beritahu mak kau pergi ke restoran tapi tak pula kau balik ke sini,” soal Puan Kamisya tatkala Kefli muncul di rumah agam milik orang tuanya.
“Kif duduk di rumah Kif. Dah lama tak jenguk ke sana. Kemas apa-apa patut. Kan rumah sana tak ada penyewa,” Kefli berdalih. Dia mengambil tempat di sebelah ibunya berkongsi sofa.
“Kau nak duduk sana ke Kif? Habis siapa nak teman mak kat rumah ni? Adik kau tak habis belajar lagi. Nak balik ke sini pun tahun depan. Dengar khabar, dia nak kerja dulu kat London sana. Sunyi la mak macam ni,” sayu suara Puan Kamisya kedengaran di gegendang telinga Kefli. Lantas tubuh emaknya dirangkul mesra.
“Alah mak ni. Bukan Kif tak balik sini. Sayang la kalau rumah yang Kif beli, tapi tak duduk,” Kefli mencipta alasan. Walhal, dia tak mahu sedetik pun berenggang dengan Surihani. Rindu bagai mengulit-ngulit dirinya jika mereka berjauhan. Dia sedar sebagai seorang suami perlu berada di sisi isteri.
Puan Kamisya mematungkan dirinya. Pandangan matanya terarah ke hadapan. Dia membisu mengenangkan kesunyian yang bakal ditempuhi. Suaminya pun jarang berada di rumah kerana sibuk menguruskan syarikat. Dia tak punya ramai anak. Cuma sepasang anak saja yang menjadi buah hatinya. Sang puteri sedang melanjutkan pelajaran di bumi mat salleh. Sang putera akan berpindah. Dengan siapa dia hendak berborak, bergurau senda?
“Mak... menungkan apa tuh?”
Kefli menyentuh jemari Puan Kamisya. Digenggam erat jemari tua itu. Segera lamunan Puan Kamisya hilang lantas menoleh merenung wajah anak terunanya. Lalu bibirnya memekar sekuntum senyuman.
“Dah besar panjang anak mak ni,” pipi Kefli diusapnya. “Kalau berkahwin nih, tentu mak dah jadi nenek.” Puan Kamisya melebarkan senyuman penuh bermakna.
Memang Kif dah kahwin, cuma tak ada anak aje lagi, gumamnya dalam hati.
“Mak rasa mak nak cepatkan tarikh pertunangan Kif dengan Qistina. Ayah Kif dah setuju nak lansungkan pertunangan Kif bulan depan. Mak ayah Qistina pun tak membantah. Cepat sikit mak dapat cucu. Tak la sunyi mak nanti.” Puan Kamisya mengulum-ngulum senyuman. Lantas bangun beredar ke dapur.
Kefli terkesima. Lama dia mentafsir butir bicara emaknya sebentar tadi. Otaknya bagaikan terbejat memproses maklumat yang diterima. Air liur ditelan terasa berpasir. Serta merta wajah lembut isterinya tertayang-tayang di hadapannya. Lalu kakinya laju mencari kelibat emaknya di dapur.
“Mak, betul ke bulan depan Kif akan bertunang dengan Qistina?”
“Betul lah. Tunggu keputusan Kif lambat sangat, jadi ayah kau buat la keputusan sendiri. Kau kenapa? Takkan tak setuju. Mak rasa hari-hari kau berkepit dengan Qistina. Ini arahan ayah kau. Muktamat! Dia tak nak orang mengata dia tak pandai jaga anak. Anak jantannya duk mengusung anak dara orang. Kif kena faham bila ayah dah buat keputusan. Mak pun tak berani ikut campur.”
Penjelasan emaknya bagaikan halilintar memanah dirinya. Gempak gempita seluruh perasaannya tika ini. Lidahnya kelu tidak terkata apa. Terasa lututnya lemah, dirinya umpama tidak berpijak di lantai.
“Eh, Kif! U pun ada kat sini?” ceria suara Qistina. “Mana Aunty? Penat tau I bagi salam dari tadi. Tak ada siapa pun yang sambut. So I masuk lah dalam. Tak sangka boleh jumpa u kat sini.”
Kefli tersentak tatkala jemari halus Qistina menyentuh lengannya. Bila masa dia masuk ni?Tak sedar pun.
Wajah Kefli mencuka lalu beredar meninggalkan Qistina sendirian terpinga-pinga.
“Kif! Mana U nak pergi tu? Kif!” Suara lantang Qistina membuatkan Puan Kamisya keluar dari dapur. Mata tuanya sempat menangkap bayang Kefli membolos keluar dari pintu rumah.
“Aunty.. Kenapa Kif tuh? Qis tegur pun dia buat tak tau saja.”
Qistina mencebik lalu merapatkan diri kepada Puan Kamisya dan memeluk lengan orang tua itu. Pipi Puan Kamisya dicium sekali.
“Dah lama ke Qis sampai? Aunty tak sedar pun. Jom teman Aunty buat cucur kegemaran Qis.”
Cepat-cepat Puan Kamisya menarik Qistina ke dalam dapur. Dia malas mahu menjawab semua pertanyaan Qistina tentang Kefli. Sebenarnya dia kebuntuan idea untuk menenangkan Qistina sekiranya anak gadis itu tahu Kefli tidak bersedia untuk berkahwin.
“Mama dan papa kirim salam.”
“Waalaikumussalam, mama dan papa Qis sihat? Bila lagi nak bertandang di rumah Aunty?”
“Minggu depan rasanya. Aunty, Qis ingat nak ajak Kif teman Qis cari baju tunang? Qis ada kenal kawan yang buka butik pengantin. Best nya kalau Kif dapat ikut sama kan Aunty? Qis nak pilih baju untuk Kif sekali.”
Senyuman di bibir tua Puan Kamisya mati serta merta. Hatinya mula berdegup kencang. Masih terbayang-bayang wajah tidak puas hati Kefli sebentar tadi.
“Bila tuh Qis?” Jelas senyuman yang cuba diukir kelat macam hempedu.
“Hari ini. Tadi Qis ingat nak ajak Kif terus tapi alih-alih dia keluar macam tu aje. Tak sempat Qis nak ajak. Bila call, Kif dah tak pandai angkat call Kif.” Mencebik bibir Qistina mengadu. “Qis risau lah Aunty.”
“Qis risaukan apa?”
“Qis risau Kif tak nak kahwin dengan Qis.”
Puan Kamisya memandang tepat ke dalam wajah polos Qistina. Hatinya tersentuh. Mengharap sungguh budak ni!
“Qis jangan risau. Kan bulan depan je korang berdua bertunang. Tak lama lepas tuh, nikah. Kif pun setuju aje. Kenapa fikir bukan-bukan ni?” tangan Puan Kamisya menciut lembut dagu Qistina. Cuba menenangkan hati si gadis yang rawan itu.
Qistina tersenyum manja. Matanya berkaca-kaca lalu tangan Puan Kamisya diusap mesra.
“Qis sayang sangat pada Kif, Aunty.”

…...........................................................................
“Apahal ko panggil?” soal Alan sebaik sahaja muncul di dalam pejabat Kefli. Wajah Kefli yang jelas berkerut ditatap hairan.
“Muka macam asam kecut je. Kenapa ni?”
Kefli masih mendiamkan diri lalu satu keluhan kasar dilepaskan.
“Aku serabut lah. Bulan depan aku dan Qis akan bertunang.”
Mata Alan terbelalak mendengar berita tersebut.
“Apa? Qis tak ada pula bagitahu apa-apa. Wah, tahniah!”
Alan segera mendapatkan sahabatnya itu.
“Kau ni aku serabut lah!” Intonasi suara Kefli agak tinggi.
“Apa yang kau serabut? Bertunangkan berita gembira. Apa yang kau serabut ni?” Kening Alan bersatu.
“Kau tak faham. Aku... Aku tak bersedia.”
“Pirahhhh... Tak bersedia konon. Aku tengok ko dengan Qis dah macam couple. Apa yang ko tak bersedia? Duit? Usahawan macam ko ni takkan ada masalam duit? Lain la aku ni makan gaji. Rumah dah ada. Kereta pun dah ada. Kiranya dah cukup pakej lah.”
“Ko tak faham.” Lantas Kefli bingkas bangun.
“Eh, ko nak ke mana?” soal Alan tidak puas hati.
“Aku nak keluar. Ko je la jaga restoran.”
Belum sempat Kefli memulas tombol pintu, Qistina telah membolos masuk.
“Eh, Qis! Bila sampai?” ujar Kefli sedikit terkejut dengan kemunculan Qistina tiba-tiba.
“Baru aje. I datang ni nak ajak U teman I cari baju tunang kita,” balas Qistina lalu memeluk lengan Kefli. Alan yang memerhati tersenyum sumbing lalu keluar dari pejabat Kefli. Langkahnya dilajukan.
“ Aku ada benda nak buat kat dapur, anymay aku ingat nak ajak kau keluar sama-sama dengan aku dan Suri. Tapi ko teman lah Qis ok.” Ulah Alan sebelum hilang dari balik pintu, membuatkan Kefli tersentap.
“Tadi I tak sempat nak ajak U dekat rumah. U menonong aje keluar dari rumah,” rengek Qistina manja. “Well, jom. I dah tak sabar nak tengok baju tunang kita. Mesti U segak nanti.”
Kefli tersenyum sumbing. “Kalau I tak teman tak boleh ke? I sibuk ni,” dalih Kefli lalu merenggang diri daripada Qistina. Meja tulisnya dituju.
“Ala U ni. Teman lah I. Nanti boleh la kita pilih baju mana yang U berkenan. Bukan I tak tahu cutarasa U ni macam mana. Cerewet. So, jangan nak berdalih. I tahu U tak sibuk mana pun. Luar sana I tengok tak ramai pelanggan.”
Qistina mendapatkan Kefli yang sudah menyibukkan diri dengan kertas-kertas kerja. Dia tahu sekarang ini Kefli sedang mengusahakan tender kilang untuk meluaskan rangkaian restorannya.
“Hari ini aje sayang. Lepas ini, I pun sibuk dengan kerja pejabat I. Boleh ye sayang. Tak lama kita dekat butik tu,” pujuk Qistina selembutnya.
Kefli meletakkan kembali fail ke tempat asal. “Ok. Kita balik cepat. I banyak kerja lagi nak buat.” Akhirnya Kefli mengalah juga. Dia bingkas bangun, menonong keluar meninggalkan Qistina di belakang. Dia risau kalau-kalau isteri nampak Qistina asyik berdua dengannya saja.
Surihani memerhati kelibat dua orang itu sedari tadi. Hatinya sedikit tercuit cemburu. Namun cepat-cepat dia membuang perasaan tersebut. Dia enggan berfikir yang buruk tentang suaminya.
“Hai, jauhnya termenung!” cuit Alan dari belakang Surihani. Bahu Surihani terjungkit ke atas kerana terkejut dengan teguran Alan.
“Sorry, saya buat awak terkejut,” ujar Alan dengan ketawa kecil. “Nasib baik tak melatah.”
“Awak, ada saja nak menyakat saya.”
“Petang ini lepas shift awak habis teman saya jalan-jalan. Saya dah bagitahu Kefli. Nak ajak dia sama. Tapi ada date pulak dengan Qistina. So kita berdua saja lah.”
Surihani menelan air liur, terasa kesat. Tiba-tiba ingatannya terarah kepada suaminya. Bayang Qistina datang berselang seli dengan bayang suaminya. Kemesraan yang tercetus antara suaminya dengan Qistina membuatkan hatinya membahang.
“Awak, termenung lagi!” tegur Alan. “Kita keluar ye petang ni?”
“Huh? Ermmm ok lah. Tapi saya nak balik awal ye?” serba salah Surihani membuat keputusan.
“Jangan risau. Kita tak balik lewat,” ujar Alan lalu mencuit dagu Surihani.
“Wow! Bos kecik ajak Suri date ye?” celah Sofea tidak semena. “Ini berita hangat sensasi lagi panas!!!” Sofea mengipas-ngipas mukanya dengan tangan. Surihani dan Alan tersentak dengan kekecohan yang dibuat oleh Sofea. Segera Surihani menutup mulut Sofea.
“Awak ni, janganlah kecoh. Malu la saya,” tegur Surihani. Matanya memerhati keadaan sekeliling. Dia perasan ada dua tiga pasang mata sedang memerhati mereka bertiga. Alan pula tersengih-sengih macam kerang busuk.
“Kalau saya nak date sekali pun dengan Surihani tak ada salah kan? Suri ni kan masih single. Saya masih single. Elok sangat lah tu. Bunga secantik bidadari syurga ni, hati mana tak terpikat,” luah Alan. Masih dengan senyuman. Sempat lagi menghadiahkan kenyitan mata kepada Surihani. Ternyata, jelas tanpa disuluh, wajah Surihani memerah bak delima.
“Wahhhh... Bos kecik sudah jatuh cinta ya?” Sofea menjerit kegirangan. “Tak lama lagi, dapat lah Pea merasa nasi minyak bos kecik dengan Suri. Mesti majlis perkahwinan bos kecik bakal menjadi wedding of the year.”
“Pea.. Apa awak merepek ni?” Surihani mengetap bibir, geram.
“Pea tak merepek,” sangkal Alan. “Petang ni jalan lupa. Saya tunggu awak.” Alan lantas berlalu pergi meninggalkan Surihani dan Sofea.
“Sudah-sudahlah awak nganga sampai lalat pun boleh bersarang,” tegur Suri.
Sofea menutup mulutnya cepat-cepat. Matanya terkelip-kelip merenung Surihani.
“Bertuahnya awak bos kecik suka dekat awak. Sorang hensem dan sorang lagi cun melecun. Memang bagai pinang dibelah dua.”
Surihani menolak bahu Sofea lantas berlalu meninggalkan Sofea sendirian. Makin dilayan makin menjadi.

Wednesday, June 8, 2011

Tak seindah malam kelmarin


Dia menyarungkan tudung yang sudah kekuningan, tampak senget namun langsung tidak dikemaskan. Bedak bayi Johnson & Johnson ditepek ke mukanya. Sesudah itu, beg sekolah yang hampir putus talinya disandang ke bahu. Wajahnya lansung tidak menampakkan riak ceria. Mana tidaknya penat semalam menjual nasi lemak sehingga dinihari masih belum hilang, terpaksa pula bangun awal-awal pagi untuk pergi ke sekolah menimba ilmu. Sekolah pula jauh nun di hujung kampung.Terpaksa meredah kesejukan angin subuh yang mencengkam sehingga ke tulang hitam.

Selesai memakai kasut sekolah yang tidak dikapur, dia menunggang gerek usang milik neneknya. Kayuhannya pagi itu sengaja dilambat-lambatkan sambil menikmati angin pagi yang amat menyegarkan. Namun, dia terpaksa berhenti dua tiga kali di pertengahan perjalanan kerana rantai gereknya jatuh. Sudah longgar lagi karat. Sesuailah dengan usia gereknya yang bersamaan usia neneknya yang tua lagi terlantar di atas katil. Habis comot mukanya yang putih terkena calitan minyak hitam rantai gerek. Jemarinya yang melekat dengan minyak hitam dicalit di hujung kain sekolah. Kayuhan dimulakan semula, meredah pagi yang masih gelap.

Dia di antara orang terawal yang sampai di sekolah. Adapun dua tiga orang murid yang lain sudah sampai, melepak di belakang kelas, duduk di tubir longkang sambil menunggu kawan-kawan yang lain. Kala itu sang matahari mula menampakkan diri, malu-malu di balik awan mencurahkan sinarnya ke muka bumi.

Selepas mengunci gerek tua, dia berlari-lari mendaki tangga hingga ke tingkat empat. Setiba di kelas, dipetik suis lampu. Terang benderang kelasnya. Tingkap dibuka lalu dia mula membersihkan kelas kerana hari ini dia bertugas.

Selesai semua tugasnya dia turun semula ke ruang perhimpunan untuk menunggu waktu pembarisan sebelum waktu kelas bermula. Dia duduk di bawah tangga belakang blok A bersendirian. Buku rujukan ehsan orang kampung dibacanya. Cuba menelaah setiap bab dalam buku tersebut. Namun, tumpuannya terganggu dek tiga budak lelaki membuat bising berhampiran tempat lepaknya. Dia menoleh mencari punca suara tersebut. Kelihatan dua budak lelaki sedang menunjal kepala seorang lagi budak lelaki di satu sudut yang hampir tidak nampak dek pandangan orang ramai. Hampir terjatuh cermin mata budak lelaki itu akibat kepalanya berkali-kali ditunjal oleh budak yang berbadan sasa lagi tinggi daripada budak bercermin mata itu. Seorang lagi berbadan kurus mentertawakan budak bercermin mata. Sesekali tangannya juga singgah meluku kepala budak bercermin mata itu.

Dia kenal benar dengan tiga budak lelaki tersebut. Bukan hari ini saja dia nampak Johan dan Borhan membuli Amran si ulat buku. Malah dia juga nampak Johan dan Borhan berkali-kali memeras ugut duit si Amran. Maklumlah Amran anak orang berada. Hari-hari bawa wang saku sepuluh ringgit. Amran sekadar berdiam diri ataupun menangis saat dibuli. Entah terkena rasukan jin spesis apa, dia nekad membantu Amran. Dengan kudrat tubuhnya yang kedengkik, dia menolak tubuh Johan yang dua kali ganda besar daripadanya.Lalu disepak punggung si lanjai, Borhan berkali-kali. Ternyata Johan dan Borhan terkejut dengan serangan hendapnya. Sebelum Johan dan Borhan melakukan serangan balas dia menarik tangan Amran, melarikan diri segagah kuda berlari. Tetapi malang bagi nasib mereka berempat kerana Cikgu Hayat sudah terpacak di hadapan sambil memegang rotan. Wajah Cikgu Hayat kala itu sangat bengis persis sang raja rimba mahu menerkam mangsa. Keempat-empat mereka dibawa masuk ke dalam bilik disiplin.

Johan, Borhan dan Amran tertunduk memandang lantai. Hanya dia sahaja yang tepat merenung muka Cikgu Hayat dengan pandangan tidak puas hati. Tanda protes. Tanpa disoal dengan teliti, dia juga turut dirotan. Malah mereka berempat dirotan di hadapan murid-murid yang lain di perhimpunan pagi itu sebagai pengajaran kepada yang lain agar tidak mencontohi kelakuan mereka.

Dia perasan semua murid yang lain menumpukan perhatian kepadanya. Mana tidaknya,itulah kali pertama dia naik ke atas pentas, bukan sebab terima anugerah murid cemerlang tetapi hari ini dalam sejarah dia menjadi gangster sekolah. Kalau Johan dan Borhan semua orang sudah muak melihat mereka di atas pentas. Ada juga mulut terlopong memerhati dirinya malah ada juga yang mula mencebik-cebik mulut. Mungkin mencemuh. Dah lah bodoh,duduk kelas paling belakang. Bergaduh pulak. Nak jadi samseng sekolah la tuh.

Seusai perhimpunan pagi tadi, Johan dan Borhan menarik tubuhnya ke satu sudut. Dendam mereka terhadap dirinya mesti dilunaskan. Dia tahu, Johan dan Borhan tak berpuas hati. Mukanya di tampar berkali-kali oleh Johan,namun dia sekadar membatu. Ditahan-tahan airmatanya daripada mengalir. Dalam hatinya dendam kesumat ditanam sedalam-dalamnya di lubuk hati. Saat itu menjadi detik bermulanya perang dunia antara dirinya dengan Johan. Nasibnya baik kerana Amran memanggil Cikgu Hayat semula bagi meredakan sengketa antara Johan dan dirinya. Apa lagi, lintang pukang Johan dan Borhan menyelamatkan diri. Setelah itu, Cikgu Hayat cuba merapati dirinya tetapi dengan pantas dia mengatur langkah meninggalkan Cikgu Hayat dan Amran.

Dia sedar Amran mengejar dirinya lantas dia memberhentikan langkah kakinya.Tidak dipaling tubuhnya mengadap Amran. Dia sekadar memeluk tubuhnya sambil menanti teguran Amran.

“ Hai..Saya Amran. Maafkan saya, sebab saya awak turut sama dirotan.” Amran menghulurkan tangan untuk disalam sebagai tanda bermulanya persahabatan. Dia hanya memandang sepi huluran tangan Amran.

“ Ain.” Hanya sepatah perkataan yang keluar daripada mulutnya. Selebihnya dia mencebik. Nama saja jantan tapi pengecut!

“ Terima kasih sebab selamatkan saya daripada Johan dan Borhan tadi.” Amran mengekori langkah Ain yang mula maju ke hadapan.

“ Awak duduk kelas mana? Saya duduk kelas 5A. Tak pernah nampak awak pun sebelum ni.”

“ 5F.” Kau budak kelas pandai, aku buadak kelas paling belakang, gumamnya lagi. Langkah kakinya dihayun laju. Rimas juga bila Amran bertanyakan itu ini.

“ Owh.Kita jumpa lagi.” Suara Amran agak tinggi kedengaran kerana Ain makin jauh ke depan. Amran terkulat-kulat di ruang kaki lima kelas budak tingkatan satu kerana Ain mempersetankannya.

“ Amran!!!Masuk kelas kamu!” Lantang suara Cikgu Hayat kedengaran. Rupanya sedari tadi Cikgu Hayat memerhati mereka. Apa lagi, berlari-lari Amran mendaki tangga menuju ke kelasnya.


Dalam kelasnya, semua murid yang lain mendiamkan diri tatkala dirinya membolos masuk. Perasan dirinya menjadi perhatian kerana keberanian dirinya bergaduh dengan samseng sekolah. Walhal sebelum ini dia lansung tak diendahkan oleh rakan-rakan yang lain kerana dia comot dan miskin. Yuran sekolah setiap tahun pun tak dapat dilunaskan. Masuk penggal akhir persekolahan baru dia dapat melangsaikan yuran sekolah dengan duit simpanan menjual nasi lemak. Oleh sebab kemiskinannya, dia dipinggirkan oleh kawan-kawan sekelas malah satu sekolah. Dia sedar status dirinya sebab itu dia selalu mengasingkan diri daripada murid-murid yang lain. Dia juga sedar dengan pandangan mata sesetengah cikgu terhadapnya kecuali Cikgu Faridah. Cikgu Faridah amat mengambil berat ke atas dirinya. Pernah satu ketika Cikgu Faridah bertandang ke pondok usangnya yang di huni oleh dirinya dan nenek yang sudah tua. Mengemukakan hasrat pada neneknya untuk mengambilnya sebagai anak angkat. Namun dia membantah hasrat Cikgu Faridah. Baginya, dia mampu berdikari tanpa simpati orang lain. Malah dia takut untuk berpisah dengan neneknya. Dia mahu menjaga neneknya kerana dia sudah tiada siapa-siapa di atas muka bumi ini. Oleh kerana kedegilannya, Cikgu Faridah akur dengan keputusannya. Namun Cikgu Faridah tetap memberi sumbangan kepada dirinya seperti buku terpakai dan pakaian terpakai. Malah Cikgu Faridah juga yang memberinya modal untuk berniaga nasi lemak. Kini, dia menjual nasi lemak di pinggir jalan di hujung kampung, di jalan masuk utama ke kampungnya setiap malam.

Pukul 1.45petang, sesi persekolahan telah tamat. Terkocoh-kocoh dia berlari mendapatkan gerek tua. Dia mahu pulang awal. Bahan-bahan untuk nasi lemak belum siap lagi. Semalam dia tertidur awal akibat terlalu penat. Kayuhan gerek tua dilajukan. Namun dia perasan ada tangan menarik belakang gereknya. Terhenti kayuhannya. Dia memaling muka ke belakang, kelihatan Johan dan Borhan tersengih-sengih. Lalu gereknya ditolak, dia rebah mencium jalan bertar. Kepalanya tersembam ke atas jalan.Dia mengaduh kesakitan. Melihat darah yang keluar daripada dahi Ain, Johan dan Borhan ketakutan lalu melarikan diri. Airmatanya tumpah jua di situ. Tanpa mengelap air mata dia bingkas bangun. Sekadar menuntun gerek tua, dia membiarkan airmatanya kering sendiri. Dia sedar murid-murid yang lain sekadar memerhati dan ada juga yang buat-buat tak nampak. Namun ada satu suara memanggilnya dari belakang. Langkahnya terhenti. Dia mencari suara tersebut. Dia perasan si pemanggil memanggilnya dengan nama penuh.Norain Khaifara.

“ Awak tak apa-apa kah?” Wajah Amran kelihatan amat risau. Namun soalan Amran tidak disahutnya. Cepat-cepat airmatanya diseka.

“ Dahi awak berdarah.Jom kita ke klinik.Cuci luka tu.”Amran cuba mengejar Ain yang makin laju menuntun gerek tuanya.

“ Marilah saya bawa awak guna basikal awak ni. Awak duduk belakang.” Tangan Amran kuat menahan gereknya. Mata mereka bertaut.Lama...

“ Rumah awak mana? Awak tunjuk ajer lah.” Suara Amran kedengaran ceria. Kayuhannya makin laju. Ain yang berada di belakang senyap tak terkutik.

“Awak..bagitau la kat mana rumah awak?” Amran bersuara agak lantang. Hairan Ain tidak menyahut pertanyaannya.

“ Depan sana ada simpang. Masuk simpang kiri. Tapi kena masuk dalam lagi.” Tangan Ain menunjukkan isyarat ke arah kiri. Setiba di simpang, Amran membelok. Melalui titi usang membuatkan Amran cuak seketika. Takut titi itu reput dan mereka bakal berkubang dalam sungai di bawah. Selepas melepasi titi usang mereka melalui kebun getah pula. Amran mulai kekok dengan suasana sekeliling. Dia sedar kawasan rumah Ain terpencil daripada rumah kampung yang lain.

“ Mana rumah awak? Ni kita dah masuk kebun getah. Betul ke ni?” Amran bertanya dengan kerutan di wajahnya. Ain membatu. Dia sudah mengagak Amran akan penasaran.

“ Bawa je la. Kejap lagi sampai lah. Awak ingat saya nak culik awak ke?” tempalak Ain. Mulutnya mencebik-cebik. Dasar anak orang kaya!

“Kita rehat la dulu. Sana ada pondok,” usul Amran setelah menemui sebuah pondok di hujung kebun. Dia sudah bermandikan peluh. Penat mengayuh gerek tua. Ain tersenyum-senyum melihat baju sekolah Amran basah dek peluh. Tu lah,tak pernah naik gerek. Datang sekolah pun ada pemandu.

Cepat-cepat Ain turun setelah Amran memberhentikan gerek di hadapan pondok usang yang beratapkan zink yang sudah bocor sana sini. Ada juga papan yang sudah terkopak.

Kakinya laju menuju ke pondok tersebut. Beg sandang diletak di atas para lalu dia masuk ke dalam pondok manakala Amran memarkir gerek di tepi. Pondok usang itu ditelitinya dek hairan melihat Ain seperti sudah biasa dengan pondok usang itu. Dia perasan pondok usang tersebut seperti mempunyai penghuni kerana dia nampak beberapa helai baju tersidai di belakang pondok. Dia menjengah-jengah ke belakang. Di sana dia terjumpa Ain sambil mengutip cawan di dalam raga atas para.

“ Masuklah. Buat macam rumah sendiri. Nenek ada kat dalam.” Tegur Ain setelah mendapati Amran terpacak tak terkutik seperti terkena sampuk. Setelah megutip beberapa buah cawan dan teko, dia masuk semula ke dalam. Kedengaran bunyi papan dipijak tatkala Ain membolos ke dalam pondok semula. Amran mengelip-ngelip matanya. Seakan tak percaya Ain tinggal di pondok usang tersebut. Serba serbi kekurangan. Daifnya hidup Ain,hatinya merintih sayu.

Di gagahi kakinya melangkah ke atas pondok penuh hati-hati. Pondok seluas sekakang kera itu diperhatinya segenap sudut. Cuma terdapat sebuah tilam dan almari pakaian. Cermin yang pecah separuh tergantung di dinding bersama bedak bayi. Kelihatan nenek Ain terbaring di atas tilam nipis dengan berbalut kain batik paras dada. Dia merapati lalu menyalaminya. Dia sedar ada aroma menyusuk hidungnya namun ditahan sebaik mungkin.

“ Awak,nenek berak tuh. Duduk jauh-jauh. Kejap lagi saya cuci. Mari lah sini,minun dulu. Saya buatkan kopi o saja.” Ain menegur tatkala menyedari wajah Amran berkerut-kerut menahan bau.

“ Oh,nenek awak berak.Saya bantu awak cuci yer?” Amran menawarkan pertolongan.

“ Sanggup ker?Saya dah biasa buat sendiri.” Ain merapati neneknya. Neneknya tersenyum melihat wajah cucu kesayangannya.

“ Siapa ni Ain?” Neneknya bersuara kemudian terbatuk-batu kecil.

“ Kawan Ain. Amran namanya.” Ain memperkenalkan Amran kepada nenek. “ Dia ni la tolong hantar Ain balik.”

Amran membuahkan senyuman ikhlas kepada nenek yang sedang memandangnya kini.

“ Terima kasih hantarkan Ain balik.” Nenek cuba bersuara, namun kedengaran lemah sahaja.

“ Tak ada apa-apa nenek. Bukan susah pun kayuh basikal. Cuma penat sedikit saja lah.” Amran tersengih lalu mengalihkan pandangan ke arah Ain yang sedang mencari sesuatu dalam almari. Kelihatan Ain mengeluarkan lampin pakai buang. Segera dia merapati Ain.

“ Boleh saya tolong?”

Ain angkat wajahnya. Mata mereka bertaut lagi.

“ Benar? Kalau macam tuh awak bawakan nenek ke luar. Dekat baldi air. Kita mandikan nenek.” Sepantas kilat Amran mendapatkan nenek. Dicempungnya tubuh nenek yang kurus menuju ke luar pondok. Didudukkan nenek di atas kerusi malas yang sudah tersedia di tepi baldi. Tidak lama selepas itu, Ain muncul bersama perkakas mandian nenek.

Sejak dari hari itu, hubungan mereka bertambah rapat. Setiap petang selepas selesai menguruskan hal nenek, mereka akan sama-sama akan menyediakan nasi lemak untuk dijual malam karang. Malah mereka bersama-sama mengulang kaji pelajaran. Amran menggunakan kelebihannya mengajar subjek pelajaran yang Ain kurang paham. Mereka berazam untuk berjaya dalam SPM nanti. Ain mahu buktikan orang susah sepertinya mampu berjaya juga. Malah Amran juga berazam untuk membantu Ain hingga berjaya.

“ Hari nih,laku nasi lemak kita. Semua habis dijual. Boleh lah kita balik awal.” Girang nada suara Ain tatkala melipat alas meja. Amran tersenyum, bersama Ain, dia mengerti pahit maung mencari sesuap nasi. Sebelum ini, dia hidup penuh dengan kemewahan. Apa yang di hajati pasti papanya akan menunaikan. Sayangnya dia dahagakan kasih sayang seorang bapa dan ibu. Bukan wang ringgit yang menjamin kebahagian. Orang tuanya saban hari sibuk mengejar wang, meraih populariti orang kampung. Al-maklum lah, bapanya penghulu kampung. Ibunya giat berpersatuan hinggakan hal anak terabai. Bersama Ain, hatinya senang. Berkongsi kasih sayang dengan nenek Ain, dia berasa sangat bahagia. Walaupun terpaksa melalui hidup susah bersama Ain, tetapi itu sudah memberikannya kepuasan dalam hidup.

“ Woi....nasi lemak basi!!!” Jeritan nyaring dari arah hadapan dengan di selang seli bunyi deruan enjin motor menyentak mereka berdua. Kelihatan Johan dan Borhan berlegar-legar di hadapan meja jualan. Berkerut seribu di dahi Ain.Amran tercengan-cengang melihat aksi Johan dan Borhan.

Tanpa di duga, Johan menyepak meja jualan hingga bertaburan papan-papan yang menjadi alas meja jualan. Patah papan-papan tersebut.Tidak cukup dengan itu, Johan dan Borhan melanggar meja jualan hingga rosak jadinya. Hancur luluh hati Ain. Ditahan airmatanya daripada mengalir. Kedengaran sorakan kegembiraan oleh Johan dan Borhan.

“ Lain kali, jangan cari pasal dengan kami.” Jerit Borhan. Johan mengekek ketawa. Puas hati aku! Serentak dengan itu, mereka beredar dengan ngauman enjin yang kuat berisyarat memberi amaran kepada Ain dan Amran. Ain mengetap giginya kuat. Sakit hatinya pada Johan dan Borhan meluap-luap. Kau tunggu!Kau ingat kau hebat!!


Hari ini sejarah akan berulang lagi dan hari ini juga hari peperiksaan SPM. Dia mengulum-ngulum senyuman. Selepas memberi semangat kepada Amran, dia menyempurnaan niat jahatnya terhadap Johan dan Borhan. Sakit hatinya perlu berbayar. Sejak kejadian Johan dan Borhan melingkupkan meja jualannya, makin galak Johan dan Borhan membuli dirinya dan Amran. Pernah Johan menyebarkan fitnah bahawa dia memberi surat cinta kepada Johan.Walhal terang-terang tulisan dalam surat itu adalah tulisan Johan sendiri. Sejak hari itu dia menjadi bahan ejekan Johan dan rakan-rakan selokah yang lain. Malah pernah juga Johan menarik tudungnya setiap kali mereka bertembung dan kerap kali juga dia melarikan diri daripada Johan. Namun makin jauh dia melarikan diri, makin dekat Johan mendekatinya. Tidak kurang juga Amran menjadi mangsa buli Johan dan Borhan. Dua lelaki samseng itu tidak pernah serik. Amran juga sudah lali menjadi mangsa Johan dan Borhan. Sehinggakan Amran berani melawan Johan dan Borhan. Namun Johan dan Borhan tetap akan menang. Dua lawan satu. Memang tidak adil.Hari ini dia nekad untuk mengena Johan dan Borhan.

Seusai peperiksaan, gamat dewan peperiksaan dengan jeritan Johan. Melompat-lompat Johan sambil membuang beg sekolahnya. Melihat aksi Johan umpama monyet, seisi dewan ketawakan Johan. Tidak terkecuali dirinya dan juga Amran. Malah ketawa mereka yang paling kuat. Puas hatinya mengena dan memalukan Johan depan orang ramai. Dia tahu Johan takutkan katak. Subuh-subuh lagi Ain mencari katak lalu diletakkan ke dalam beg sekolah Johan.

“ Siap kau Ain!!!” Lantang suara Johan bergema. Semua mata memandang ke arah Ain. Ain sekadar tersengih kambing lalu laju melangkah keluar dari dewan bersama-sama Amran. Dalam masa yang sama mereka berdua mengekek ketawa.


Segalanya akan berlalu bersama-sama anjakan masa. Begitu juga dengan kisah mereka. Masing-masing telah berjaya dan membawa haluan sendiri. Mungkin ada yang telah berumah tangga, mungkin juga yang masih membujang. Adapun sudah bekerja dengan jawatan yang membanggakan, ada juga sekadar kuli mencari sesuap nasi. Namun semua ini telah menjadi perjalanan hidup berlandaskan takdir Tuhan.

Setelah tiga puluh tahun berlalu, Amran terasa dirinya makin tua, nyawa bagai dijemput-jemput. Kedut di wajah bertambah, tulang belakang mulai membongkok. Terkenangkan pahit dan manis semasa zaman sekolah banyak meninggalkan kesan dalam hidupnya. Entah silap apa dia gagal meraih cinta Norain Khaifara. Bagi Ain, dirinya tak lebih sebagai sahabat karib. Tetapi mengapa dia dapat merasa cinta di dalam mata Norain Khaifara. Akibat kecewa dengan Ain, dia bergelandang membawa diri. Dan hari ini dia berteleku di bawah pohon kemboja bersama-sama sahabat lama yang dahulunya mereka bermusuhan.

“ Kenangan lalu jangan dikenang lagi. Arwah dah lama pergi. Dah bertahun-tahun. Selepas kau menghilangkan diri dia kerap jatuh sakit. Di tambah pula tak lama lepas itu, nenek dia meninggal.” Johan memejamkan matanya sebentar. Mungkin menahan getar dalam hati. “ Semuanya salah aku.”

Sudah lama sebenarnya mereka berdua berteleku di bawah pohon kemboja, mengimbas kembali kenangan lalu. Perjumpaan tidak sengaja di tanah perkuburan islam antara Amran dan Johan mencetus memori lama tersingkap semula. Niat asal Amran menziarahi kubur ibubapanya, namun dengan izin Allah S.W.T, dia bertemu kembali dengan Johan yang sedang menyedekahi ayat-ayat suci Al-Quran di sebuah kuburan.

“ Aku bersalah terhadap arwah. Kerana dendam terhadap arwah, aku aniaya arwah,” luah Johan dengan penuh kekesalan. Amran menggelengkan kepala. Serta merta hatinya berasa sakit dengan pengakuan Johan.

“ Apa sebenarnya yang kau telah lakukan terhadap arwah?” Ditahan-tahan hatinya agar syaitan tidak menghasutnya membarakan api kemarahan.

“ Selepas kau hilangkan diri dulu, aku ada buat sesuatu ke atas arwah.” Amran bingkas bangun lalu menarik kolar baju Johan. Kejap cengkamannya di kolar baju Johan. Johan sedakar mendiamkan diri. Dia tahu Amran sayangkan Ain. Mungkin dengan apa yang bakal dia luahkan, berterus terang, dirinya akan menanggung natijah.

“ Apa kau buat pada Ain? Cakap dengan aku!” tengking Amran. Kalau dulu dia amat takutkan Johan tetapi dengan usia yang berganjak tua membawanya bersama-sama keberanian dalam diri serta pengalaman hidup. Kini, Johan kelihatan kerdil pada pandangan matanya. Johan pula menelan air liurnya. Terasa berpasir.

“ Kau cakap sebelum penumpuk aku singgah ke muka kau!” bentak Amran. Matanya mencerlung tepat ke mata Johan.

“ Sabar Am.. Dengar dulu apa aku nak terang. Kau jangan lah macam ni. Aku akui aku salah tapi jangan buat aku macam ni. ” Terketar-ketar Johan menyusun ayat. Akhirnya Amran melepaskan genggaman di kolar baju Johan. Dihela nafasnya panjang. Dia duduk kembali di bawah pohon kemboja.

“ Aku memang berdendam dengan arwah. Tapi dalam masa yang sama aku jatuh cinta dengan dia. Aku dengki tengok kau dan arwah rapat. Aku selalu kacau-kacau dia sebab aku nak tarik perhatian dia. Tapi dia tetap beri perhatian pada kau.” Amran memejam matanya tatkala mendengar luahan hati Johan. Dia akui dirinya lebih mendapat perhatian daripada Ain. Tapi kenapa kau tak balas cinta aku Ain?

“ Di sebab dendam dan sakit hati, aku perkosa dia. Aku nak Ain jadi milik aku. Dan akhirnya dia setuju kahwin dengan aku selepas setahun kau hilangkan diri dan di sebab itu juga dia pendam perasaan dia pada kau. Dia sememangnya cintakan kau.” Akhirnya Johan menangis. Tersedu-sedu seperti budak kecil. Dalam hatinya terbit perasaan kesal yang teramat.

Amran mengetap giginya kejap. Sakit hatinya pada Johan membuak-buak. Selama tiga puluh tahun dia membawa diri dengan cinta tidak berbalas. Rupanya ini lah sebabnya Ainmenolak cinta tulusnya. Tanpa di duga, satu penumbuk yang padu singgah ke pipi Johan. Terkedu Johan namun dia tidak melawan.

“ Kau pukul lah aku, buatlah apa kau suka. Aku tahu aku salah. Aku pisahkan kau dengan dia. Tapi, aku amat cintakan Norain Khaifara!” tegas Johan. Matanya tepat merenung ke dalam mata Amran. Mahu menegaskan dia ikhlas menyintai Ain.

Amran meraup wajahnya. Beristighfar seketika di atas keterlanjurannya. “ Maafkan aku. Aku terlalu ikutkan hati."

“ Aku faham. Kau sayangkan Ain dan aku buat jahat terhadap Ain.” Mereka kembali bercerita. Masing-masing meluahkan perasaan yang terbuku di lubuk hati.


Malam itu, saat bulan purnama menghiasi dada langit, mereka duduk di pangkin seperti malam-malam selalunya selepas menjual nasi lemak. Menikmati keindahan malam bersama-sama membuatkan Amran dibuai rasa cinta yang asyik. Dia sudah tidak dapat menahan rasa cintanya pada Ain. Malam itu dia nekad meluahkan isi hatinya.

“ Saya sebenarnya sukakan awak Ain.” Lalu sebentuk cincin disua kepada Ain. Pengakuan itu benar-benar menyentakkan Ain. Mata Amran ditatapnya untuk kepastian.

“Benar,saya sayangkan awak. Bila saya dah masuk dalam dunia awak, saya dah jatuh hati. Awak. Awak seorang yang tabah, mengajar saya erti kehidupan.” Bicara Amran terhenti di situ tatkala menyedari ada titisan manik-manik jernih di pipi Ain.

Dia menggeleng-gelengkan kepala. Enggan mengakui cinta Amran terhadapnya. Dia sedar dia tidak layak buat Amran.

Di waktu itu, dunia seakan berhenti seketika, sunyi sepi. Hanya bunyi cengkerik menjadi irama malam itu. Pergerakan daun getah jatuh ke lantai bumi pun perlahan-lahan. Bunyi motosikal yang lalu lalang antara kedengaran dengan tidak. Semua mata memandang ke arah mereka. Haiwan-haiwan turut memberi perhatian mahu mendengar jawapan daripada mulutnya.

“ Saya cuma anggap awak sebagai kawan baik. Maafkan saya.” Kakinya terus melangkah meninggalkan Amran yang tergegau. Setiba di hujung kebun, dia menitiskan airmatanya. Kala ini hatinya benar-benar tersayat. Igaun Johan terus meghantuinya. Terngiang-ngiang di telinganya kata-kata Johan.

“ Sama ada kau suka atau tak, kau tetap akan jadi milik aku. Aku takkan biarkan budak skema tu dapat kau. Kau jangan ingat lepas ni kau dapat tagih cinta Amran. Aku akan buat kau melulut, merayu pada aku!”

Airmatanya menitis lagi. Dia seperti ketulahan. Akhirnya dengan dia akur dengan Johan. Selepas beberapa bulan Amran menghilangkan diri tanpa khabar dan perut makin memboyot akibat perbuatan Johan, dia setuju dengan pinangan Johan.


Selama melayari bahtera perkahwinan dengan Johan, Ain cuba menyingkirkan rasa cintanya pada Amran dan membuang perasaan itu jauh-jauh. Selama itu juga Johan cuba memikat hatinya namun dalam jiwanya kosong. Hari demi hari dia makin tenat. Dengan kerinduan terhadap nenek yang menghembus nafas terakhir, dengan kerinduan yang tidak dapat di lafazkan buat Amran dia kelelahan. Genap sembilan bulan dia melahirkan anak hasil hubungan ketidakrelaannya, dia menutup mata buat selama-lamanya. Konsekuensinya Johan menyesali perbuatannya dan nekad membela sang puteri dengan penuh kasih sayang bukti cintanya buat Ain.


“ Itulah anak aku. Puteri Maisarah.” Johan menunjuk ke satu arah. Amran menoleh dan memandang ke arah yang di tunjukkan. Kelihatan seorang gadis sedang berdiri di luar kereta. Wajahnya saling tidak tumpah seperti wajah yang bertahun-tahun dia memendam kerinduan. Akhirnya dia akur dengan takdir hidup. Dia tersedar, selama mana dia harus bermimpi lagi. Seakan meresap satu semangat yang baru, dia harus bangun. Meneruskan sisa-sisa hidupnya walaupun dalam hatinya cinta pada Norain Khaifara tersemat kukuh.

“ Berilah cincin ini pada Puteri Maisarah. Ini tanda cinta aku buat Ain.” Akhirnya dia melangkah pergi.


Hati ini tak menyangka
Bila akhirnya kau tinggalkanku
Tak tertahan luka ini
Ku menangis tak kuasa
'tuk menahan pedihnya hatiku
Tanpa ada kata kau meninggalkanku
Menyisahkan luka dihatiku
Betapa sakitnya relung batinku
Merasakan hilangnya cintamu
Malam ini tak seperti
Malam kemarin saat kau peluk aku
Malam ini tak seperti
Malam kemarin saat kau bersamaku
Malam ini tak seindah
Malam kemarin
Jiwa ini tak menduga
Bila ku harus kehilanganmu