Malam itu juga dia meredah kepekatan malam menuju ke Cameron Highland. Di mindanya kuat teringatkan Surihani. Hatinya memang tidak senang sedari pulang berjumpa dengan Qistina. Berbagai alasan dicipta kepada Qistina supaya dia dapat memboloskan diri. Mujur kemunculan Alan di saat – saat dia amat memerlukan, dia berjaya melepaskan diri daripada Qistina.
Pedal minyak ditekan sehabis mungkin. Had kelajuan yang ditetapkan oleh undang – undang jalan raya, tidak diendahkan. Entah mengapa dia begitu kuat teringatkan Surihani. Hatinya berdebar – debar bagaikan baru sudah dikejar anjing. Dalam otaknya, dia hanya mahu cepat sampai ketemu dengan Surihani. Mungkin dengan cara itu, segala keresahan dalam hatinya dapat diredakan.
Kereta diparkirkan di laman rumah. Kakinya pantas menyusun ke muka pintu. Belum sempat pintu dibuka, Surihani menerpa lalu tubuhnya dipeluk erat. Terdengar esak tangis Surihani membuatkan dia bertambah kaget.
“Kenapa Suri?” Pelukan cuba dileraikan. Namun pelukan itu semakin kuat.
“Firas demam.” Pelukan dileraikan sendiri oleh Surihani. Kepala Surihani tertunduk memandang ke bawah. Malu di atas keterlanjurannya tadi. Lantas airmatanya diseka.
“Mana Firas?” Pantas kaki Kefli masuk ke dalam rumah. Surihani membuntuti Kefli daripada belakang.
“Jom, kita ke klinik. Firas demam panas ni.” Lantas tubuh kecil Firas dicempungnya. Surihani mengangguk tanda setuju.
Sekali lagi keretanya dipandu laju. Kesunyian malam memudahkannya untuk memecut kereta semahunya. Surihani yang berada di sebelah hanya berteleku, mendiamkan diri. Sesekali dia mencium pipi Firas yang dipangkunya.
“Jom.” Pintu kereta dibuka. Hanya lima minit kiranya mereka sampai di hadapan klinik yang beroperasi duapuluhempat jam.
“Mari, saya dukung Firas,” pinta Kefli. Lantas Surihani membiarkan Kefli mengambil Firas daripada pangkunya. Tidak lama selepas itu mereka membolos masuk ke dalam klinik tersebut.
Siapa tuh? Dah ada anak? Biar betul? Keningnya bersatu. Setiap gerak geri Kefli diperhatikan sedari tadi. Entah mengapa hari ini dia nekad mengekori Kefli selepas menghantar Qistina pulang tadi. Niatnya dia mahu mengajak Kefli melepak, membincangkan hal restoran, tetapi gelagat Kefli yang kelam kabut semasa dia terserempak dengan Kefli dan Qistina menarik minatnya untuk tahu.
Sejak bila dia kahwin tak bagitau aku ni? Takkan Kif kahwin senyap – senyap? Tapi.... Bermacam – macam soalan berlegar di kepalanya kini. Dia benar – benar musykil. Tak pa.. i will find out.
Adegan pelukan seorang wanita di hadapan rumah Kefli, membantutkan hajatnya untuk menegur Kefli tadi semasa dia sampai di rumah Kefli. Mujur saja keretanya diparkir jauh daripada rumah Kefli. Jadi kehadirannya tidak disedari oleh Kefli. Sehinggalah Kefli mendukung seorang budak kecil masuk ke dalam klinik tadi pun tidak disedari oleh Kefli. Alan keras di dalam kereta memerhati setiap adegan Kefli dan dua lagi orang yang tidak di kenalinya dari jauh. Dia yakin Kefli menyimpan sesuatu daripadanya. Patutlah ko tolak cinta Qistina.. Ada cerita rupanya.
Kereta dipandu perlahan memecah kepekatan malam. Penghawa dingin yang dipasang pun tidak mampu mendinginkan tubuhnya. Lagu yang terpasang dari corong radio seakan sayup kedengaran di telinganya. Otaknya ligat memikirkan drama apa yang ditontonnya tadi. Tak pa, sejauh mana Kif mahu berahsia dengan aku. Lama – lama aku akan tahu juga. Bibirnya melukiskan senyuman. Lantas pedal minyak terus ditekannya laju. Kereta dipandu, pulang semula ke Kuala Lumpur, malam itu juga.