“ Hello, Dato' ! Cepatnya call saya. Ada hal apa? Amacam?” Suara Mahmud kedengaran ceria. Wajahnya manis menyambut panggilan itu. Rakan – rakannya yang semeja judi hanya menjeling melihat gelagat Mahmud. Daun terup diletak atas meja. Permainan mereka terganggu.
“ Apa?! ” Kali ini suara Mahmud keras kedengaran. Rakan – rakannya sekadar mengerut muka. Tidak mengerti kenapa tiba – tiba mood Mahmud berubah. Wajah Mahmud masam mencuka dan daun terup di tangannya dilempar ke hadapan. Hampir sahaja mengena wajah rakannya yang berada di hadapannya. Seraya itu, tangannya menghempas kuat ke atas meja. Rakan – rakannya lain terkejut dengan tindakan kasar Mahmud.
“ Dia bayar Dato' lima ribu?” Kali ini wajahnya berkerut kehairanan. Mana perempuan celaka itu dapat duit? Lantas talian itu dimatikan. Dahinya berkerut seribu. Otaknya ligat memikirkan di mana Surihani mendapat wang sebanyak itu. Hatinya bertambah berang mengenangkan dari mana Surihani mendapat sumber wang tanpa pengetahuannya. Tetapi mindanya merencanakan sesuatu. Dia mesti tahu dari mana Surihani mendapat wang sebanyak itu. Kesempatan mesti diambil selagi boleh. Dia tahu kelemahan Surihani adalah Firas. Adik Surihani, satu – satunya ahli keluarganya yang masih hidup di muka bumi ini setelah semua ahli keluarga Surihani meninggal dalam satu kemalangan jalan raya yang dasyat. Bibirnya bergerak – gerak melukiskan senyuman sinis. Rakan – rakannya yang menjadi pemerhati sedari tadi bertambah binggung melihat perubahan mendadak mood Mahmud.
Kefli membuka tingkap rumah di bahagian ruang tamu, membenarkan cahaya pagi merombos masuk memenuhi segenap ruang tamu rumahnya. Sudah tiga tahun rumahnya yang di bina di pinggir bukit Cameron Highland dibiar sepi tanpa berpenghuni gara – gara sibuk menguruskan perniagaannya di kota raya, Kuala Lumpur.
Dia menoleh melihat Surihani sudah terlelap di atas sofa. Pandangannya dipusatkan pada wajah mulus Surihani. Bola matanya galak menilik rupa paras Surihani. Kemudian bibirnya melukiskan segaris senyuman. Memang Surihani memiliki kecantikan yang tidak dapat dinafikan oleh hati lelakinya. Alis matanya yang tebal dan memiliki hidung yang mancung serta bibir yang merah asli memang mampu mengoncangkan iman mana – mana lelaki yang memandangnya. Seraya itu dia duduk di hadapan Surihani dan meraup wajahnya. Satu keluhan terzahir daripada bibirnya. Kenapa jalan hitam itu yang kau pilih wahai gadis umpama bidadari? Persoalan itu hanya diluah dalam hati. Agak lama dia berteleku di hadapan Surihani, melayan perasaan. Kenapa kau begitu familiar bagi aku? Siapa kau? Kenapa aku berasa seperti kita mempunyai sesuatu? Sehinggakan aku sanggup menyamar dan beli kau daripada pelanggan kau sendiri? Dia tersenyum lagi.
Sampul coklat bertukar tangan. Ternyata lelaki yang hanya bertuala separas pinggang tercenggang dengan kemunculannya pada malam itu. Lelaki itu kalut mencari kelibat Surihani. Tetapi ditahan oleh Kefli. Wang yang berisi dalam sampul surat itu menandakan dia membayar lelaki itu untuk mendapatkan Surihani. “ Malam ini dia akan bersama aku. Dalam sampul itu ada lima ribu.”
Lamunan Kefli terhenti apabila Surihani mendadak bangun daripada tidurnya. “Aku kat mana?”
Surihani mulai kalut. Pandangan dikitar segenap ruang rumah milik Kefli. “ Kau siapa? Kenapa kau bawa aku ke sini?” Surihani mengetap bibirnya geram kerana setiap pertanyaannya tidak diendahkan oleh Kefli sepanjang pejalanan mereka tadi. Bila dia tertidur pun, dia tidak pasti.
Kefli tetap membatu, bersandar di sofa. Mata mereka bertentang. Mata Surihani jelas kelihatan berkaca – kaca. Surihani benar – benar mahukan Kefli menjawab setiap soalannya.
“ Aku kefli.” Akhirnya Kefli mahu memperkenalkan dirinya. Serba salah melihat kesuraman pada wajah Surihani.
“ Aku tahu apa kau nak.” Mendatar suara Surihani. Lantas dia bingkas bangun. “Lepas ni, kau lepaskan aku. Aku nak balik.” Surihani mendekati Kefli yang masih bersandar di sofa. Pantas tangan cuba menanggal baju di hadapan Kefli. Dia tahu apa yang lelaki mahukan daripada seorang perempuan sepertinya. Dia mahu cepat – cepat melangsaikan tugasnya dan balik untuk ketemu adiknya, Firas. Hatinya bimbang dengan keadaan adiknya. Dia amat pasti, pakciknya akan membelasah adiknya.
Entah bila Kefli menolak tubuh Surihani hingga terjatuh semula ke sofa yang didudukinya tadi. Surihani tergaman dengan tindakan drastik Kefli.
“ Jangan! Aku bukan pelanggan kau. Aku mau kau duduk sini!” Keras suara Kefli. Mungkin terkejut dengan tindakan Surihani. Dahi Surihani berkerut – kerut tidak mengerti. “ Habis, apa yang kau mahu? Kenapa kau bawa aku ke sini?” Suara Surihani meninggi. Dia sudah tidak tahan dengan kelakuan Kefli yang suka membatu, tidak menjawab segala pertanyaannya. Mukanya merah menahan marah di dada. Air mata mula menitis di pipi. Akhirnya dia gagal untuk menahan perasaannya. “ Aku bimbang adik aku. Pasti sekarang ni dia kena pukul.” Air matanya merembes laju tak tertahan-tahan. “ Kenapa kau bawa aku ke sini? aku nak balik. Aku nak jumpa adik aku. Mesti Pak Ngah pukul Firas.” Surihani memeluk kakinya. Dia menangis semahu – mahunya. Apa yang merisaukannya sekarang ini adalah adiknya. Adiknya terlalu kecil untuk diperlakukan dengan kasar oleh bapa saudaranya. Firas Sarhan baru berusia 6 tahun. Sebagai seorang kakak, dia wajib melindungi adiknya.
Kefli masih membatu di tempat duduknya. Dia buntu bagaimana mahu memujuk Surihani.
“ Kenapa kau ikut lelaki tuh?” Kefli mengajukan soalan setelah tangisan Surihani mulai reda. Dia mahu kepastian tentang apa yang dia fikirkan sekarang.
Sudah lama Surihani tidak melepaskan apa yang terbuku dalam hatinya. Hari ini dia meluahkan segala – galanya. Bermula daripada kemalangan di lebuhraya yang membabitkan seluruh ahli keluarganya sehinggalah dia diambil oleh bapa saudaranya yang kaki judi dan juga seorang bapa ayam dan bagaimana dia hidup merempat dengan adiknya Firas Sarhan.
No comments:
Post a Comment